MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Menjelang sepak mula Liga Super 2021 malam esok, Ketua Jurulatih Kelab Melaka United FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan buntu memilih kesebelasan utama untuk beraksi menentang Sabah di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.
Menurut Zainal Abidin, ini berikutan hampir semua pemain menunjukkan keinginan yang tinggi untuk berbakti kepada pasukan Sang Kancil itu, sekaligus mendapat tempat dalam kesebelasan utama perlawanan pembukaan.
“Alhamdulillah, saya ingin memilih 11 pemain tetapi saya nampak lebih daripada 11 pemain yang boleh bermula untuk aksi menentang Sabah pada Sabtu ini.
“Saya masih ada masa lagi untuk menentukan kesebelasan terbaik dan Insya-Allah hanya sebelas yang terbaik sahaja akan diturunkan pada perlawanan pertama itu nanti,”katanya.
Ketika ini, semua anak buahnya bersedia memberikan aksi terbaik pada perlawanan pembukaan namun, beliau optimis sebelas pemain utama diturunkan nanti bakal membawa kejutan besar buat penyokong MUFC.
-MF-