PROJEK ANCHOR SPM BAWA PENONTON IMBAU MEMORI PERSEKOLAHAN

Marina sahabudin

Astro menampilkan sebuah lagi drama bersiri premium terbaru menerusi jenama Astro Originals, bertajuk Projek: Anchor SPM yang menggantikan Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Ia memaparkan kisah fiksyen diinspirasikan daripada kisah yang pernah berlaku dalam pengalaman kehidupan pelajar dan gelagat mereka menghadapi SPM.

Menariknya, ia mendapat sentuhan kreatif daripada dua pengarah berbakat besar tanah air iaitu pengarah filem PUSAKA, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf yang sebelum ini merupakan penulis skrip untuk filem pecah panggung Polis Evo 1 (RM18 juta), Polis Evo 2 (RM 23 juta), PUSAKA (RM13 juta), PASKAL: The Movie (RM30 juta) dan Wira (RM11 juta).

Gabungan terdahulu menerusi PUSAKA mempamerkan kredibiliti mereka menghasilkan karya berkualiti dengan gaya kontemporari.

Kali ini, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf diberi peluang sekali lagi bekerjasama dan menguji kreativiti bagi mengarahkan drama siri premium pula.

Drama siri premium ini mempunyai keunikan tersendiri dengan berlatar belakangkan tahun 2003 yang membawa penonton mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan menerusi barang-barang nostalgia, prop dan set, disamping elemen persahabatan, percintaan alam remaja, kekeluargaan, serta ragam dan aktiviti para pelajar sekolah.

Antara kekuatan lain Projek: Anchor SPM adalah sinematografinya yang berkualiti tinggi setaraf filem.
Manakala, busana dan gaya penampilan telah direka mengikut karakter setiap watak.

Projek: Anchor SPM bakal menemui penonton mulai 15 Mac, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).

Bagi memastikan lakon layar yang komersial, pasukan penulis Astro Shaw writers’ room turut memainkan peranannya dalam penghasilan skrip dan pra-produksi yang telah memakan masa selama empat bulan.

Menerusi 8 episod, penonton dapat menyaksikan konflik berbeza ditampilkan dalam setiap episod yang diyakini mampu mencetuskan keterujaan dan sekaligus mendorong penonton untuk terus menantikan episod seterusnya.

Bagi menghidupkan watak-watak dalam drama ini, barisan pelakon muda Aedy Ashraf membawa watak Aizat, seorang pelajar kacak dan popular di sekolah, Daiyan Trisha dengan watak Aaidaa iaitu seorang pelajar pintar tetapi kurang keyakinan diri, Shasha Abedul sebagai Jaja seorang yang ceria dan ketua kelab peminat Aizat, Nadhir Nasar (Juara Hero Remaja 2020) sebagai Hilmi iaitu Ketua Pelajar dan aktif dalam sukan, Chubb-E (Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33) sebagai Botol, seorang yang berbakat dalam muzik dan sering menjadi penenang kepada kawan-kawan.

Selain itu, turut membintangi adalah nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30), Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Terdapat tiga runut bunyi yang akan menghiasi Projek: Anchor SPM, iaitu lagu utamanya adalah ‘Bintang’ nyanyian Chubb-E & Shasha Abedul, ‘Beban Dunia’ nyanyian Daiyan Trisha dan ‘Sentiasa’ nyanyian oleh Firdaus Rahmat. 

Menurut Pengarah Projek: Anchor SPM, Razaisyam Rashid, beliau berbangga dan berterima kasih kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Astro dalam menghasilkan sebuah drama siri premium.

“Di atas kepercayaan diberikan ini, saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada aspek teknikal dan gaya seni untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi.

“Saya turut berbangga dapat bekerjsama dengan saudara Anwari Ashraf sekali lagi, dan buat pertama kalinya kami sama-sama mengarahkan drama siri premium ini.

“Tentunya ada cabaran dalam menghasilkan karya ini, lebih-lebih lagi sesi penggambaran adalah ketika berlangsungnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak limitasi. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya tidak sabar untuk persembahkan karya ini kepada penonton. Saya harap Projek: Anchor SPM dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pengarah dan Show Runner Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf, berkata, dia sememangnya meminati genre filem bergenre ‘Young Adult’ dan selalu impikan untuk meperkenalkan genre ini kepada penonton Malaysia kerana genre ini jarang didedahkan.

“Jadi, saya cuba untuk cari satu topik yang dekat dengan penonton Malaysia untuk mengetengahkan genre ini.

“Saya yakin ramai yang mempunyai pengalaman mengambil SPM atau apa-apa jenis peperiksaan, jadi kami bawa topik pelajar dan peperiksaan untuk menjadi nadi kepada jalan cerita Projek: Anchor SPM.

“Diharap penonton dapat berhibur dengan drama siri premium ini serta mengambil nilai-nilai positif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran,” katanya.

Sementara, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro sentiasa cuba menawarkan kelainan dalam setiap konten.

“Menerusi slot Astro Originals, drama premium yang ditampilkan adalah berkualiti setaraf filem dan boleh ditonton secara bersiri setiap minggu.

“Kali ini, Projek: Anchor SPM bakal menghiasi slot Astro Originals dan ia mengetengahkan subjek yang dekat dengan penonton Malaysia, iaitu pengalaman dan isu di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan selama ini.

“Antaranya isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya, lebih-lebih lagi di kalangan anak muda. Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh dan ia adalah subjek sangat menarik untuk kita kupas, di samping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah,” katanya.

-MF-

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *