Marina sahabudin
BANDAR HILIR – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengambil inisiatif mengadakan pameran maya masjid-masjid dalam negeri ini sebagai usaha berkongsi sejarahnya kepada orang awam.
Pendedahan secara maya lebih mudah kerana sesiapa sahaja boleh mengakses laman maya tidak kira di mana berada dan bila-bila sahaja.
Menerusi laman sosial facebook Muzium dan Galeri Melaka, terdapat 15 masjid telah dimuatkan.
Antaranya, masjid yang tertua didirikan sejak zaman Belanda lagi, iaitu masjid Kampung Hulu, masjid Kampung Kelingh dan masjid Tengkera.
Lain-lain masjid di Melaka dilihat dibangunkan pada awal 1900 hingga 1940-an.
Pada masa ini dilihat masjid-masjid dibina umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Di sini boleh dirumuskan bahawa pada tahun-tahun tersebut agama Islam mula berkembang dengan pesatnya di negeri ini.
Dari aspek seni binanya pula, masjid-masjid di Melaka khususnya masjid-masjid tradisional mempunyai seni bina yang unik dengan menonjolkan campuran seni bina pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India.
Ini menunjukkan bahawa pada ketika dahulu, kehidupan rakyat berbilang bangsa hidup dalam aman, harmoni dan saling berganding bahu dalam pelbagai perihal.
Pameran Maya Sejarah Masjid-Masjid di Melaka juga bertujuan menyampaikan informasi keindahan dan maklumat lain berkaitan seni bina masjid-masjid di dalam negeri Melaka.
Informasi mengenai topik sejarah masjid ini boleh dibaca dengan melayari laman sosial facebook Muzium dan Galeri Melaka.
-MF-
Sumber : FB muzium & galeri Melaka