MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
Foto: MUFC
MELAKA – Hasrat Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) untuk mencatat kemenangan sulung dalam aksi pertama Liga Super 2021di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila hanya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sabah FC, di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Biarpun menguasai permainan pada separuh masa pertama, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan dikejutkan dengan jaringan pada penghujung babak pertama oleh pemain Midfield Sabah FC, Hamran Peter.
Gol berpunca daripada gerakan penyerang Sabah FC, Bobby Gonzalez yang membuat hantaran cantik ke sebelah kiri pintu gol kepada Hamran sebelum beliau melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol MUFC, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung di babak kedua, MUFC terus menggandakan serangan untuk mendapatkan gol penyamaan dan usaha itu akhirnya berhasil pada minit ke 63 menerusi S. Kumaahran yang menerima hantaran daripada Sony Norde dengan merembat kencang menewaskan penjaga gol Sabah FC, Robson Rendy Rining.
Aksi kedua-dua pasukan dalam keadaan hujan renyai-renyai terus seimbang selepas itu biarpun Norde dilihat mempunyai peluang terbaik meletakkan MUFC di hadapan pada minit 68 dan 76, namun gagal menemui jaringan sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan itu, kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dan Zainal Abidin perlu memikirkan taktikal yang lebih baik di beberapa posisi khususnya di barisan serangan dalam menghadapi perlawanan kedua bertemu PJ City di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 10 Mac ini.
-MF-