MARINA SAHABUDIN
KRUBONG – Tiada perkataan dapat diluahkan selain melihat sendiri kegembiraan dipamerkan pada wajah anak-anak yatim serta golongan asnaf Rumah Pertubuhan Anak-Anak Harapan di sini apabila diraikan oleh pihak berkenaan.
Kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaiknya jawatankuasa Dewanita Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Yayasan Ibnu Hayyan menerusi program santuni anak yatim dan asnaf yang dianjurkan.
Menurut Pengerusi Dewanita DPMM, Shirin Othman, rumah tersebut dihuni kanak-kanak berusi tiga hingga 16 tahun bersama lima penjaga.
“Perbelanjaan mereka mencecah RM30,000 sebulan. Malah, mereka juga memerlukan kelengkapan lain seperti makanan tambahan (vitamin), kuih raya serta pakaian raya sebagai persediaan menyambut syawal yang hanya tinggal beberapa bulan saja lagi.
“Kita sedia maklum mereka tidak mempunyai keluarga sempurna seperti insan lain. Justeru, jika ada pihak yang berkemampuan marilah kita sama-sama menyumbang apa yang diperlukan bagi memastikan kehidupan anak-anak ini terbela,” katanya kepada MelakaFirst.
Pada majlis itu, Dewanita DPMM dan Yayasan Ibnu Hayyan turut menyumbangkan 10 dulang Nasi Arab.
“Semoga usaha ini dapat menceriakan hari mereka selain mengingatkan golongan berkenaan bahawa masih ramai insan yang prihatin dengan nasib menimpa mereka,” katanya.
-MF-