MARINA SAHABUDIN
MELAKA – KS Industrial Tools Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) membawa inovasi teknologi hijau baharu bagi memperkasakan lagi bidang itu di negeri ini.
Antara usaha diambil adalah dengan memperkenalkan teknologi hijau dari US bagi pasaran di Malaysia.
Pengarah Urusan KS Industrial Tools Malaysia, Esta Wong berkata, DéScale merupakan satu-satunya produk di Malaysia yang mampu merawat air dari ‘Cooling Tower’, ‘Chiller’ mahupun ‘Boiler’.
Menurutnya, kaedah yang digunakan bertujuan untuk meningkatkan penggunaan maksimum bagi peralatan dan memanjangkan jangka hayat mesin (investment syarikat).
“Secara tidak langsung proses ini dapat mengurangkan pembaziran tenaga elektrik dan air, 100 peratus tanpa menggunakan bahan kimia sekaligus menjimatkan kos penyelenggaraan,” katanya kepada MelakaFirst.
Ujar Esta Wong, KS Industrial Tools Malaysia, turut berkongsi cadangan untuk memperkenalkan teknologi ini di seluruh Malaysia.
“Dengan membuat pemasaran di Malaysia ia membolehkan produk atau teknologi ini dipasarkan dengan lebih murah serta digunakan dengan lebih meluas oleh semua pengguna.
“Sehingga kini teknologi DéScale telah digunakan di lebih 200 syarikat dari pelbagai sektor kerajaan mahupun swasta.
“Ia termasuklah industri pelancongan, hospital, kesihatan, pembuatan plastik, pembuatan besi dan lain-lain industri yang menggunakan ‘Cooling Tower’, ‘Chiller’ mahupun ‘Boiler’ bagi sistem mereka,” katanya.
Sementara itu, Esta Wong turut berterima kasih kepada pihak PTHM yang sudi menjalinkan kolaborasi bersama KS Industrial Tools Malaysia.
“Menerusi hubungan baik ini kami berjaya meluaskan lagi penggunaan teknologi DéScale di negeri ini.
“Besar harapan saya terhadap kerajaan negeri khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meminta supaya semua pemain industri mencuba sendiri teknologi ini.
“Penggunaan teknologi ini akan membantu memastikan tiada lagi pembuangan sisa bahan kimia ke Sungai Melaka jika dipasang di bangunan mereka,” katanya ia secara tidak langsung akan memastikan sungai di negeri ini menjadi contoh kepada semua negeri.
Tambahnya, pada masa yang sama inisiatif ini akan mengelakkan sumber air Melaka dari tercemar dengan lepasan bahan kimia sektor industri dan bangunan di negeri ini.
-MF-