MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka sedang berusaha memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi sekaligus mememastikan tiada catuan air dilakukan pada masa terdekat.
Bagaimanapun, kerajaan negeri turut berharap hujan berlaku di kawasan tadahan air bagi mengelakkan fenomena panas atau El-Nino dihadapi kini tidak berpanjangan sehingga Mei 2021.
Menerusi laman sosial facebook Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, beliau bersama agensi dan jabatan terlibat telah menjalankan lawatan ke Empangan Durian Tunggal untuk memantau situasi semasa paras empangan tersebut.
Difahamkan, empangan itu turut terkesan akibat taburan hujan yang rendah di negeri ini.
Sehingga 8 Mac lalu, paras air di Empangan Durian Tunggal adalah sebanyak 22,013 juta liter (70.6 peratus), Empangan Jus sebanyak 36,365 juta liter (84.1 peratus) dan Empangan Asahan sebanyak 695 juta liter (99.9 peratus).
Justeru, beliau sempat berpesan ‘jangan cemarkan sungai dan empangan kita, peliharalah sumber air untuk generasi hari esok’.
Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Abd Rashid Ab Rahman dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Melaka, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman,
Lawatan turun padang itu turut mengambil kira aspek lain termasuk melihat dengan lebih dekat isu pencerobohan tanah rizab empangan dengan pelbagai aktiviti seperti pertanian, perladangan, pembinaan struktur kekal dan memancing.
Selain itu turut diketengahkan isu keselamatan kawasan tadahan daripada segi kuantiti dan kualiti sumber air bagi tujuan bekalan air minum untuk kegunaan rakyat Negeri Melaka.
-MF-
Sumber : FB Sulaiman Md Ali