Marina sahabudin
TELOK MAS – Empat pemenang utama program Cabaran Turunkan Berat Badan 50 Hari DUN Telok Mas berjaya meraih wang tunai berjumlah RM500 di atas usaha gigih mereka.
Pemenang tersebut adalah Faidzal Mohamad (128.2 kg-103 kg),
Mohd Fariz Mahyon (79 kg – 66 kg), Rasifa Sawal (116.8 kg – 104 kg) dan Norhayati Abd. Gani (72.5 kg – 59.4 kg).
ADUN Telok Mas, Datuk Noor Affandi Ahmad berkata, mereka telah buktikan bahawa dengan usaha, semangat dan positiviti yang tinggi, harapan dan keinginan untuk berubah boleh jadi kenyataan dengan kaedah yang betul.
“Pada 12 Disember tahun lalu, sekitar 220 warga Telok Mas hadir untuk mendaftar diri dan menimbang berat permulaan masing-masing.
“Dan pada 31 Januari lalu iaitu hari ke 50 cabaran hampir 100 orang yang terus bersemangat datang kali ke dua untuk ditimbang berat badan di akhir program.
“Seramai 32 peserta kita iktiraf sebagai penerima hadiah bagi empat kategori. Terpancar kegembiraan dan kepuasan di wajah mereka,” katanya.
Jelasnya, kerana sambutan positif, program tersebut akan dilaksanakan lagi sebelum bermula Ramadan.
“Selepas ini kita adakan Cabaran Pinggang Ramping 50 Hari DUN Telok Mas dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.
“Yang pasti tiada yuran penyertaan, anda usaha kurangkan ukuran lilit pinggang, anda juara,” katanya.
-MF-