MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BANDA HILIR – Ketua UMNO Cawangan Jalan Panjang, Mohd Jamil Ab Wahab, menolak sekeras-kerasnya penggunaan perkataan Allah digunakan kaum lain kerana dikhuatiri akan disalahgunakan untuk kepentingan mereka.
Beliau turut menggesa semua agar bangkit menghalang penggunaan kalimah Allah oleh kaum lain.
“Saya bantah penggunaan perkataan Allah yang digunakan mana-mana bangsa sekalipun, bukan sebab Allah hak orang Melayu, tetapi ia mungkin digunakan dengan tidak wajar oleh mereka yang lama menunggu peluang seperti ini.
“Mereka kelihatan bersahaja dan tidak melenting tetapi apabila peluang dan undang-undang telah dipersetujui, mereka mungkin menggunakan peranan ini untuk mengelirukan generasi Melayu akan datang.
“Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya memandang serius perkara ini dan jangan sesekali mengaibkan agama serta maruah Islam,” katanya kepada MelakaFirst.
Mohd Jamil turut menyeru supaya umat Islam menghalang penggunaan kalimah tersebut supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku pada masa hadapan.
Perihal tersebut turut disokong Pengerusi Sahabat Infaq Apsociety, Abdul Halim Jantan.
“Kami dan semua ahli Persatuan Sahabat Infaq Alpsociety menyokong penuh kenyataan Mohd Jamil dan menggesa pihak kerajaan membuat rayuan di Mahkamh Rayuan dengan segera demi keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
-MF-