MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Dua pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Farrahdiana Baharuddin dan Nasharah Zainal berjaya mengharumkan nama institusi tersebut apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Masakan Etnik Melaka, baru-baru ini.
Kedua mereka merupakan pelajar jurusan Jabatan Hospitaliti memilih memasak hidangan Etnik Bugis yang menjadi tuah kepada kemenangan itu.
Mendapat sentuhan jurulatih Siti Aminah Salim, mereka berjaya menambat hati juri sekaligus menewaskan 29 peserta di peringkat awal dan sembilan peserta di peringkat akhir sekaligus membawa pulang Piala Pusingan Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman dan wang tunai RM1500.
Turut membanggakan, dua lagi rakan mereka, Norasyikin Muhamad Arifin dan Nurul Dafina Wahid yang dibimbing Zarinah Pardi mendapat hadiah saguhati dengan tema makanan Baba Nyonya.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Toh Puan Datuk Wira Dr Hajah Asmah Ab Rahman.
Program mendapat penganjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Hadir sama, Pengarah IKTBN Alor Gajah, Syamsul Tahrin Mohd Tahir, Timbalan Pengarah Latihan, Shahrul Naimah Zulkifli dan Ketua Jabatan Hospitaliti IKTBN Alor Gajah, Hairul Anuar Zakariah,
Menurut Syamsul Tahrin, kejayaan pelajar itu merupakan satu kebanggaan.
“Tahniah kepada pelajar dan pensyarah kerana berjaya dan ini sekaligus memberi keyakinan kepada pelajar bahawa bidang Hospitaliti ini mempunyai prospek cerah bagi mereka selepas menamatkan pengajian di sini,” katanya.
-MF-