MARINA SAHABUDIN
TELOK MAS – Baik buruk politik sebenarnya terletak kepada individu itu sendiri. Apabila berkait dengan ‘perkataan’ ini pelbagai persepsi negatif biasa dilemparkan lebih-lebih lagi terhadap mereka yang bermain politik.
Jarang sekali kita mendengar ‘ bagusnya politik itu’ atau ‘bagusnya orang-orang yang mengepalai sesebuah parti politik ini’.
Bagi ADUN Telok Mas ini, beliau juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai budaya politik di negara kita.
Menerusi laman sosial facebook miliknya, beliau sempat berkongsi mengenai persoalan adakah makin lama dalam politik membuatkan sesetengah orang menjadi bodoh?
Namun persoalan itu bukanlah ditujukan kepada semua, sebaliknya mungkin segelintir sahaja.
Ujar Datuk Noor Effandi Ahmad, pun begitu masih ramai yang betul dan di jalan yang sepatutnya.
”Ada orang yang pernah jadi menteri sedikit masa dahulu bangga sungguh dengan pemberian RM30 untuk tujuan penggalakan pembelian online.
”Ikhlas kata waktu itu saya rasa kesal kerana ianya tidak akan membawa impak dan menjangka akan jadi bahan kerajaan menjadi bahan perlian. Yang menerima pasti akan guna sahaja sebab benda ‘free’ tapi tiada terasa impaknya.
”Baru-baru ini pula, ada seorang veteran politik yang sudah berpuluh tahun jadi ahli parlimen menggelarkan sebuah parti politik sebagai ‘pelacur.’ Agak menjangkalkan dan saya sendiri tidak tahu mahu komen apa,” kongsi beliau.
Nyata pelbagai lagi pendapat beliau berhubung situasi politik masa kini.
Antara lain diajukan mengenai ahli politik yang lama bermain politik tetapi rupanya menipu sijil pendidikan, kelulusan tidak setinggi mana tapi mengaku ada ijazah, sudahlah menipu, universitinya mesti yang gah-gah sahaja bunyinya.
”Banyak juga orang politik ini ada seni memungkinkan yang mustahil. ‘Make something impossible be possible’, kata Mak Wan Ngah yang tidak diketahui lokasinya. Hahaha,” ketawa beliau.
Mengakui masih hijau dalam bidang ini, beliau juga banyak kali dinasihatkan ramai pemain politik.
”YB, politik ni ‘is a dirty game.’ Sepanjang terlibat dengan politik ini memang saya sudah tahu bagaimana untuk bermain dengan cara ‘dirty game’ itu, cuma sama ada mahu atau tidak sahaja.
”Nasihat-nasihat pelik yang mereka rasa perlu untuk ‘survive’ dalam belantara politik ini boleh saja saya ambil tapi, terfikir pula penat Emak dan Encik (ayah) beri didikan kepada saya.
”Akhir sekali saya ingat – ALLAH jua sebaik-baik perancang, Hasbunallah Huwanikmal Wakeel,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, bagi Noor Effandi, pemikiran menipu, beli undi, berjanji itu ini dan fitnah sahaja menjadi lawan kita, maka bolehlah meluncur mudah sedikit untuk menang, terutamanya bagi pemilihan di peringkat parti.
”Tidak semua amalkan benda ini tetapi akan ada ‘sesetengah’ manusia sanggup buat begitu semata untuk mendapat jawatan.
”Rakyat secara umum patut melibatkan diri dengan politik, bukanlah untuk aktif sangat tetapi, perlu terlibat sedikit sekurangnya sebagai ahli biasa di peringkat cawangan.
”Kita selalu tidak puas hati dengan ‘sesetengah’ ahli politik yang kita rasa bodoh, berlagak dan rasa besar diri tetapi, sedarkah kita mereka ini ‘dipilih’ oleh orang-orang parti bermula di peringkat cawangan,” katanya.
Justeru beliau turut mengajak supaya masyarakat di luar sana melibatkan diri dengan politik.
”Sedikit sudah cukup, sekurang-kurangnyanya untuk memainkan peranan memilih dan menaikan individu yang sesuai dan sekurangnya tahap kebodohannya kecil,” katanya paling bahaya jika terlibat dengan ahli politik yang inteleknya kurang tetapi, kerakusannya tinggi.
Moga dijauhkan.
-MF-