MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BUKIT BARU – Lima pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka mengadakan lawatan kunjung hormat kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) di Perpustakaan Negeri di sini.
Lawatan diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN Melaka, Nazarul Mustafa itu bertujuan menjadikan PERPUSTAM sebagai rakan strategik dalam usaha KDN mendapatkan sumber bahan penerbitan, terutama buku yang diterbitkan dalam negara.
Menurut Nazarul, ia selaras dengan arahan terbaharu ibu pejabat KDN yang mahukan kajian secara rambang buku-buku yang diterbitkan pada 2018 dan ke atas.
“Lawatan mesra dan kunjung hormat ini dilihat menjadi medan terbaik untuk pihak kami mendapatkan bahan bacaan tersebut.
“Ia sekaligus memudahkan kami mendapatkan maklumat buku baharu yang diterbitkan di Malaysia kerana ada ketika kita tidak berjaya mendapatkan buku tersebut di pasaran.
“Justeru, kerjasama ini membantu pihak kami membuat kajian rambang terhadap buku-buku terkini diterbitkan di pasaran tempatan,” katanya.
Ketibaan wakil KDN disambut Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.
Mereka tuurt dibawa melawat ke beberapa bahagian perkhidmatan PERPUSTAM oleh Ketua Bahagian Pengurusan Koleksi & Perkhidmatan Perpustakaan, Raifudeen Abd Latif.
-MF-