MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BANDA HILIR – Program Dengauler Ceritaku @ Muzium Melaka ‘Sejarah Sekolah Gambar di Melaka’
bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda amnya mengenai sejarah dan perkembangan Sekolah Gambar melalui tinggalan bangunan bersejarah ini.
Program anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu berjaya menarik perhatian lebih 80 peserta.
Pengurus Besar PERZIM, Drs. Mohd Nasruddin Rahman, penganjuran sejajar dengan objektif jabatan dalam mengembangkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sejarah dan warisan.
“Sesi pengisahan sejarah diadakan bagi memartabatkan sejarah di samping merekod dan mendokumentasikan sejarah melalui penceritaan secara lisan oleh individu yang pernah berada sezaman dengan sesuatu topik yang diperbincangkan.
“Ia mengambil konsep bual bicara bersama penceramah yang diundang iaitu Iesnordin Malan yang merupakan mantan Penolong Kurator Kanan, Jabatan Muzium Malaysia dan Kassim Kadir Maidin, bekas kakitangan Jabatan Muzium Malaysia.
“Sesi pengkisahan ini juga telah dipancarkan secara langsung di laman Facebook Muzium dan Galeri Melaka,”katanya.
Turut diadakan lawatan ke tapak muzium untuk memberi peluang kepada peserta menimba ilmu mengenai kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan yang sedang dijalankan oleh pihak PERZIM.
Mengulas lanjut, Mohd Nasruddin, berkata Muzium Melaka mempunyai riwayat sejarahnya yang tersendiri sejak ia ditubuhkan secara rasmi oleh George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka pada 19 Mac 1954.
“Penempatan muzium pertama bagi negeri Melaka secara rasminya telah diletakkan di sebuah bangunan Belanda yang terletak di Jalan Kota yang dahulunya dikenali sebagai Fort Road pada ketika itu dan digelar sebagai Sekolah Gambar.
“Sekolah Gambar pada ketika itu telah beroperasi sehinggalah tahun 1981. Dengan perkembangan bidang pelancongan selari dengan warisan sejarah Portugis dan Belanda yang berada di kawasan sekitar, institusi muzium di Melaka mula diperluaskan dan dikembangkan dengan menjadikan Bangunan Stadthuys sebagai Muzium Negeri Melaka dari fungsi asalnya sebagai pejabat kerajaan pada tahun 1982,”katanya.
-MF-