MARINA SAHABUDIN
MELAKA- Orang ramai perlu diberikan pendedahan lebih luas mengenai kepentingan mengambil vaksin.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, menerusi program Jom Daftar Vaksin Covid-19, pihaknya berusaha merealisasikan usaha tersebut.
Menurutnya, PMPM bersama Klinik Kesihatan Padang Sebang turut mendekati orang ramai di premis perniagaan dan sekitar Pasar Malam Gadek untuk memberikan penerangan berkaitan.
“Saya, JM Mardiana dan JM Jurina bersama membantu sebarkan maklumat dengan mengedarkan risalah.
“Ia sangat penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang vaksin, khidmat nasihat selain membantu mereka membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kita juga membuat hebahan mengenai talian ‘hotline’ 1800-888-828 selain pendaftaran manual bersemuka di fasiliti KKM berdekatan,” katanya kepada MelakaFirst.
Tambah Azlin, program imunisasi ini hanya akan berjaya apabila penduduk Malaysia mengambil vaksin.
“Hanya menerusi penglibatan menyeluruh barulah kita mampu tamatkan pandemik Covid-19 ini,” katanya.
-MF-