MARINA SAHABUDIN
TELOK MAS – Di usianya 81 tahun, Mohd Diah Mohd Yunos masih kelihatan tegap dan sihat menjalani kehidupan hariannya.
Bekas pesara tentera Melayu berpangkat sarjan yang menetap di Kampung Bukit Punggor ini umpama seorang pahlawan negara kerana telah berbakti memperjuangkan keringatnya untuk Tanah Melayu.
Difahamkan, Mohd Diah menyertai pasukan keselamatan negara waktu Tanah Melayu baharu setahun merdeka (1958).
Menerusi lawatan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad ke rumahnya, Mohd Diah turut bercerita kepada beliau sejarah penglibatannya bersama tentera Melayu.
“Pakcik Mohd Diah pernah berkhidmat di Sabah pada era Konfrontasi dan terpilih menyertai pasukan pengaman ke Congo di Afrika Tengah.
“Pada tahun 1980, Pakcik Mohd Diah dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang Di Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah,” kongsi beliau di laman sosial facebook miliknya.
Menurut Noor Effandi, beliau kagum dengan semangat Pakcik Mohd Diah dan daya ingatannya yang masih kuat.
“Kelihatan di meja ruang tamunya terisi beberapa naskhah Al-Quran dan sebuah kitab tebal tulisan jawi. Sempat juga saya baca kitab itu, syukur masih lancar bacaan jawi. Pakcik Mohd Diah mampu membaca tanpa menggunakan cermin mata. Matanya masih baik dan cerah,” katanya.
Tambah Noor Effandi, beliau segan dan cukup terharu dengan disiplin bekas sarjan bersara tersebut.
“Waktu saya sampai, dia cukup teruja sehingga beri saya tabik. Pakcik kata, dulu dalam tentera kena bagi tabik, ‘Saya mahu tabik YB sebab datang rumah saya.
“Di dalam rumahpun, dia mulanya tidak mahu duduk sebelah saya, mahu berdiri sahaja. Waktu saya mahu beredar, dia bersungguh mahu tutupkan pintu kereta. Saya jadi cukup insaf, saya positif beritahu diri sendiri itu tanda ikhlas seorang yang berjiwa disiplin tentera sejati,” katanya.
Dalam pada itu Pakcik Mohd Diah sempat berpesan kepada beliau.
“Kata beliau kepada saya, jangan hancurkan penghormatan seorang veteran tentera penuh jasa yang lebih usianya daripada Encik (ayah).
Jauhi rasuah, biar tidak kaya serba mewah dalam jawatan asal maruah terus terjaga. Saya pasti, itulah harapan pahlawan-pahlawan keselamatan yang bergadai nyawa demi negara kepada mereka yang bergelar pemimpin,” kongsi Noor Effandi mengenai nasihat Pakcik Mohd Diah.
-MF-