MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Dalam usaha memartabat dan menyemarakkan aktiviti seni budaya di negara ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka (JKKN) Melaka mengadakan Majlis Pelancaran Apresiasi Seni JKKN 2021 secara visualistik yang dipancarkan secara langsung terus kepada pelayar media sosial.
Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, JKKN merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menganjurkan program seumpama itu serta mengambil tanggungjawab memastikan penganjuran ini berjaya.
Menurut Ezlina, bagaimanapun, berikutan Pandemik Covid 19, program dilaksanakan sedikit sebanyak memberi kesan kepada sektor kebudayaan terutama kepada penggiat seni budaya.
“Mereka kehilangan punca pendapatan, program antarabangsa ditangguhkan dan kegiatan seni budaya terpaksa dihentikan,” katanya.
Katanya, JKKN akan terus melaksanakan aktiviti mengikut dua sektor ditetapkan iaitu Sektor Dasar dan Perancangan, Sektor Kebudayaan dan Kesenian serta Program Bersama Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan.
“Di bawah Sektor Dasar dan Perancangan, JKKN Melaka menggariskan beberapa program berkaitan seperti Program Intelek Seni: Perkongsian Ilmu secara Dalam Talian, Program Penyelidikan Budaya dan akan mengkaji Kearifan Tempatan: Pantun (Spontan) dan Persembahan Joget dalam Dondang Sayang.
“Turut diadakan Program Perantisan: Penambahbaikan Manuskrip Rejang Puisi Yang Hilang serta Rebana Keras Klebang Besar, Pesona Muzik Tradisi Di Ambang Kepupusan, Pemetaan Budaya, Makmal Usahawan Seni Budaya (MaUs) dan menambah baik Galeri Seni serta Pusat Sumber Pustaka Munsyi di Kompleks JKKN Melaka,”katanya.
Ezlina menjelaskan, bagi Sektor Kebudayaan dan Kesenian, JKKN menyusun untuk mengadakan Siri Drama Pentas, Manifestasi Teater Johan Negeri 2019 : Teater ‘This Ability’, Bengkel Tari Malaysia, pementasan Siri Drama Pentas Negeri 2021, Program Bimbingan Seni Budaya iaitu Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Malaysia Peringkat Negeri Melaka secara Dalam Talian membabitkan tiga kategori.
Turut diadakan Program Jom Belajar yang merupakan inisiatif JKKN bagi menggalakan Jurulatih Seni Budaya Negara yang diiktiraf memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada warga maya mengenai apresiasi seni budaya yang meluas.
“Aktiviti dan program ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan aktiviti seni budaya sungguhpun berdepan dengan situasi norma baharu,”katanya.
-MF-