UNDI 18 TAHUN : CABAR ANAK MUDA TENTU MASA DEPAN NEGARA

Marina sahabudin

MELAKA – Mengundi … mendengar, membaca atau apa sahaja mengenai perkataan ini pastinya berkait rapat dengan pilihan raya.

Tidak kiralah sama ada ia sudah hampir atau tidak, ‘mengundi’ mudah saja menjadi persoalan khususnya dalam sistem pimpinan sesebuah negara itu.

Di Malaysia sendiri, mengundi wajib dilaksanakan apabila umur mencapai 21 tahun.

Bagaimanapun, pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai pendaftaran pemilih automatik seawal usia 18 tahun memberi perspektif baharu.

Menerusi laporan akhbar tempatan pada tahun 2019, dianggarkan hampir 8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih sehingga 2023 jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan kepada 18 tahun.

Walaupun ia dinyatakan hanya boleh dilaksanakan seawal bulan September 2022 oleh SPR, namun, perkara ini telahpun menjadi
cabaran kepada anak muda menentukan masa depan negara.

Mengulas mengenai isu ini, Naib Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau yakin masih belum terlambat untuknya berbicara mengenai perkara itu.

Menurutnya, beliau pasti pihak SPR telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan perkara tersebut namun, atas sebab-sebab yang tidak dijangka di mana negara dilanda krisis kesihatan awam dan pandemik Covid-19 sekaligus telah membawa kepada pengisytiharan darurat kesihatan sedikit sebanyak telah menggangu perancangan asal pihak SPR.

“Walaupun hakikatnya, perkara ini telah melalui satu proses yang panjang dalam meluluskan undi 18 di Parlimen, ia bukan sahaja melibatkan pimpinan politik tapi mengambil kira semua aspek melibatkan anak muda dan pemegang taruh yang berkaitan dan sudah pasti kelewatan ini akan mengecewakan banyak pihak.

“Sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat, kita perlu berani berhadapan dengan semua peringkat umur dalam mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi.

“Laluan kepada pemimpin muda perlu dibuka seluasnya. Penyertaan anak muda seawal 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara,” katanya.

Ujar Mas Ermieyati, sokongan anak muda semakin menonjol terhadap pemerintahan Perikatan Nasional hasil daripada usaha dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin Yassin dalam menangani permasalahan dan cabaran mutakhir ini.

“Sekiranya diberi peluang, saya yakin dan percaya mereka boleh memilih secara rasional. Inilah masanya untuk mereka menyuarakan dan memperjuangkan isu yang membelenggu kumpulan ini supaya isu mereka ini tidak dipandang enteng.

“Ini juga masa untuk mereka terus membuka mata dan cakna mengenai isu-isu disekeliling mereka seterusnya mematangkan mereka,” katanya.

Tambah Mas Ermieyati, beliau ingin melihat lebih ramai calon-calon muda dalam kalangan wanita diketengahkan untuk pilihanraya yang akan datang.

“Ia penting supaya hak dan isu-isu berkaitan kumpulan ini juga dapat diketengahkan sekaligus mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan,” katanya.

-MF-
Sumber : FB Mas Ermieyati

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *