Azureen Sharif
MUNGKIN sukar untuk dipercaya, namun itulah ‘Pak Sheikh’ yang memiliki kelebihan mengeluarkan benda-benda seperti berlian, permata dari mulutnya sendiri.
Bahkan bukan itu sahaja, Pak Sheikh atau dengn nama sebenar, Sheikh Abdullah Sani Kiyai Hashim, 53, kiranya sudah tidak asing lagi di Perkampungan Duyong, di sini yang sinonim dengan pergerakan silat dan keunikan seni yang ada pada dirinya sendiri.
Pak Sheikh mendakwa, keistimewaannya yang boleh mengeluarkan batu permata dan berlian dari mulut itu adalah sejak di belasan tahun, malah sehingga kini ribuan batu permata yang sudah dikeluarkannya.
“Alhamdulillah, ini sebenarnya amanah dari warisan datuk moyang dahulu termasuk arwah ayah, saya cuma meneruskan legasi mereka sahaja. Ini semua anugerah ALLAH swt. Apa yang penting bermula pada niat.
“Bila kita yakin pada ALLAH, maka kita boleh buat. Keyakinan menjadi titik tolaknya selain percaya kepada kuasa tuhan maha pencipta,” katanya ketika ditemui di Muzium Hang Jebat, Perkampungan Duyong di sini.
Menurutnya yang juga pengasas Persatuan Cahaya D’lima berkata, hanya bacaan Yasin dan zikir harian menjadi amalan selain ketaqwaan kepada ALLAH swt dalam ilmu perubatan yang dianugerahi begitu juga amalan mengeluarkan batu permata.
“Alhamdulillah saya juga diberi kelebihan dan kesempatan mengubati sakit samaada terkena sihir dan sebagainya. Bagaimanapun saya tidak mengubati menggunakan batu-batu yang keluar dari mulut sebaliknya hanyalah ayat-ayat suci Al-quran.
“Manakala kelebihan mengeluarkan batu permata dari mulut itu beserta amalan bacaan Yasin setiap pagi dan juga tidak henti berzikir memuji kebesaranNya,” katanya.
Tambahnya, meskipun diberi kelebihan mengubati dan juga keistimewaan mengeluarkan batu permata, namun beliau sekeluarga tidak pernah terfikir mahu menjual barang-barang emas dan batu permata itu lebih-lebih lagi meyalahgunakannya.
Menurutnya, pernah suatu ketika dahulu kelebihannya disalah guna oleh orang ramai yang dilihat hanya mahukan ‘nilai’ barangan tersebut untuk kepentingan peribadi.
“Dulu masa saya adakan persembahan silat di Muzium Negara ramai yang datang mahukan batu permata dan sampai beribu-ribu.
“Ada yang mahukan sebagai kepentingan peribadi seperti kekayaan namun ada juga yang meminta untuk pendinding diri.
“Bagaimanapun sekarang, jika ada upacara silat dan sahaja saya akan menunjukkan persembahan batu permata tersebut namun bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada, tapi sekadar tanda cenderhati kepada yang menonton,” katanya.
Ketika ditemui, ayah kepada dua cahayamata itu mengeluarkan tiga biji batu pertama untuk diberikan sebagai cenderahati kepada wartawan, selain turut berkesempatan menyaksikan beliau mengubati seorang pesakit yang sudah berbelas tahun menderita buatan sihir manusia.
MF