MELAKA – Ahli Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya, Tan Sri Rahim Tamby Chik menyelar situasi UMNO berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kata beliau, tidak logik dan relevan untuk parti itu berkempen dalam keadaan sekarang.
Bagi beliau, apa sahaja yang boleh disampaikan oleh UMNO jika parti itu sarat dengan penyakit politik seperti rasuah dan penyelewengan.
“Adakah rakyat dan pengundi boleh menerima ceramah mereka nanti?
“Biasalah dalam tradisi berkempen kita minta rakyat mesti berhemah, bermaruah, mempertahankan hak serta kepentingan rakyat dan negara.
“Tetapi dalam bab mana yang UMNO ni boleh berceramah? Dengan pekong dan kudis yang banyak, mungkin juga kanser, apa yg nak dijerit atau dilaungkan UMNO nanti,” soal beliau mengenai perjuangan PRU parti itu.
Tambah beliau, mungkin ada pemimpin UMNO berkata, mereka telah memerintah lebih 60 tahun sehingga berjaya mengubah situasi negara dan kondisi rakyat selama ini.
“Memang betul dan benar tapi itu hasil kerja atau prestasi ‘UMNO dulu’. Ketika organisasi UMNO dan kepimpinannya serupa dan selari dari segi kecemerlangan serta kehebatannya. Tapi itu semua dah jadi satu nostalgia saja kepada ‘UMNO sekarang’.
“Pemimpin dan ahli UMNO mungkin sudah lupa agaknya bahawa antara ‘organisasi UMNO’ dgn ‘kepimpinan UMNO’ itu ibarat paru-paru dengan candu rokok, jika candu rokok tidak dimasukkan ke dalam paru-paru, maka tidaklah paru-paru itu rosak dan sakit. Ia akan sentiasa bersih, sihat dan berfungsi efisien,” katanya.
Tambah beliau, sebaliknya apabila candu rokok itu disedut setiap hari ke dalam paru-paru yang tidak berdosa itu.
“Maka bertukarlah warnanya menjadi kehitaman, potensi lokasi segala penyakit dan boleh memberhentikan nafas daripada terus berfungsi.
“Itulah nasib organisasi UMNO masa kini yang masih di tangan penghisap rokok tegar,” katanya.
Rahim juga menasihati ahli-ahli UMNO dan rakyat supaya berfikir sejenak mengenai perkara itu.
“Fikirkanlah apa akan jadi kepada kita semua bila paru-paru telah penuh diselaputi candu?” katanya lagi.
-MF-