MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Isu Rumah Prima Melaka Tengah 2 yang terbengkalai mendapat perhatian pelbagai pihak.
Malah suara pembeli-pembeli telah sampai kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menerusi laman sosial facebook beliau, bekas Perdana Menteri itu turut bersimpati dengan bebanan yang terpaksa ditanggung pembeli dan menggesa pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu itu secepatnya.
Permasalahan tersebut terdahulu dikongsi pemilik laman sosial facebook Shahrul Neezal Zaidon yang merupakan salah seorang pembeli rumah terbabit.
Cerita Shahrul, dia membeli rumah tersebut pada tahun 2019 dan berpuluh kali dijanjikan oleh agen bahawa projek akan siap pada 2019, 2020, dan kemudiannya pada tahun 2021.
“Tapi bila pergi dan tengok sendiri tapak pembinaan dah terbengkalai, hampir setahun juga tidak jalan kerja. Tahun 2021 dah bersemak-samun dan PRIMA ubah lagi tarikh siap ke tahun 2023.
“Untuk pengetahuan semua, saya sudah mula bayar ‘loan interest’ hampir RM300 sebulan untuk fasa pertama. Rumah sewa pun kena bayar RM700 setiap bulan, rumah sendiri pun kena bayar tapi tidak siap hampir 3 tahun.
“Komitmen bertambah dan sangat membebankan. Saya kerja swasta, jadi mungkin sebab tu saya punya ‘loan’ lain dengan ‘loan’ orang yang kerja kerajaan,” katanya.
Jelasnya, dahulu mungkin gesaannya dilakukan secara individu dan pihak berkenaan tidak berapa layan.
“Tapi sekarang saya sudah ada lebih 100 pembeli yang sama-sama memperjuangkan nasib pembeli Prima MT2 ini.
“Bila dah jumpa setiap pembeli, bermacam cerita yang lagi sedih saya dengar. Ada yang beli lagi awal dari saya dengan harapan hendak duduk bersama emak dan ayah, tetapi rumah terbengkalai, emak ayah pun dah meninggal. Tidak sempat rasa rumah baru.
“Ada pembeli ibu tunggal yang hanya berniaga kecilan, membelanjakan hampir keseluruhan duit simpanan keuntungan berniaga untuk beli rumah baru. Dengan harapan dapat menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk anak-anak, tetapi hampa apabila rumah ini terus terbengkalai. Ibu tunggal itu sampai sekarang terpaksa menyewa. Komitment makin bertambah. Di tambah dengan cabaran ekonomi semasa musim pandemik ini, lagi mencabar buat ibu tunggal tersebut,” tulisnya panjang lebar.
Tambah Shahrul, paling menyedihkan, Prima MT2 ini adalah projek 100% Melayu yang dibina atas tanah rizab Melayu.
“Projek lain di Melaka semua berjalan lancar, semua projek campuran ‘non-bumi’ rancak membangun. Tetapi projek yang 100 peratus Melayu ini sangat bermasalah.
“Bermacam usaha sudah kami lakukan dari segi aduan kepada Prima, aduan rasmi kepada KPKT, email rasmi dan bermacam lagi tetapi semuanya menemui jalan buntu.
“Semua pembeli akan dapat email daripada Prima menyatakan seribu alasan. Terbaru Prima menggunakan alasan Covid 19, sedangkan rumah sudah terbengkalai sebelum pandemik ini berlaku. Pihak menteri pula mengambil pendekatan membisu diam seribu bahasa.
“Kami sebagai pembeli rasa ditindas, dianiaya, tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya. Kalau kami hanya berdiam diri dan menunggu, mungkin sekarang Prima masih memberi alasan dan mungkin rumah kami tidak akan sempat siap sebelum 2023,” katanya.
Shahrul turut mengajak orang ramai supaya datang ke tapak perumahan tersebut dan melihat sendiri realiti
yang dihadapi pembeli-pembeli rumah Prima MKT 2.
“Tengoklah dengan semak-samunnya, bangunan dah usang, besi dah berkarat dan terbiar begitu sahaja. Prima MKT 2 mempunyai 980 unit dan hampir 90 peratus sudah terjual. Setiap hari ramai yang meminta untuk ke masuk grup kami, ramai juga pembeli baru yang dijanji bulan bintang oleh agen Prima, tapi realitinya?,” katanya penuh persoalan.
Tidak hanya Shahrul, terdapat juga pembeli lain turut berkongsi permasalahan itu di laman sosial facebook mereka.
Harapan mereka, semoga perkara ini dapat pembelaan daripada pihak berwajib dan perhatian daripada menteri.
-MF-
Sumber : FB Shahrul Neezal Zaidon