Halimah Khaidzir
Program Pemerkasaan Komuniti (PMK) dilancarkan bagi memupuk masyarakat supaya bersama-sama menjaga komuniti sekeliling dalam usaha menangani pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata intipati PMK ini adalah untuk mengaktifkan pemimpin tempatan supaya menjadi lebih proaktif dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Tambah beliau lagi, Nadma dipertanggungjawabkan untuk menambah pendaftaran penerimaan vaksin khusus di kawasan pedalaman dengan menggunakan kekuatan pengaruh ketua komuniti.
“Antara aktiviti Pemerkasaan Komuniti adalah penubuhan agen basmi Covid-19 (ABC-19), pertandingan kampung atau komuniti bandar zon hijau serta membantu pendaftaran vaksinasi untuk komuniti di pedalaman,“ katanya dalam temubual bersama RTM.
Sementara itu, Nadma menerusi perkongsian hantaran di Facebook rasminya menyebut, komitmen daripada semua pihak amat kritikal dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Justeru melalui Program Pemerkasaan Komuniti ini, semua rakyat Malaysia perlu terus bermuafakat demi merealisasikan hasrat menamatkan wabak COVID-19 dan memacu kembali pembangunan dan kesejahteraan negara yang kita sayangi.