MARINA SAHABUDIN
AYER KEROH – Orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai produk bumiputera, bolehlah datang ke MAIM Industries Sdn. BHd. (MISB) yang terletak di Kompleks Melaka Mall di sini.
Ini kerana MISB memasarkan pelbagai produk keluaran muslim bagi membantu usahawan bumiputera meluaskan pasaran mereka.
Memilih memasarkan produk-produk patuh syariah, ia juga antara inisiatif MISB meningkatkan lagi kempen Buy Muslim First.
Pengurus Besar MISB, Shahfurizal Abu Bakar berkata, antara produk boleh didapati di sini termasuklah makanan, minuman dan peralatan sekolah.
“Anda boleh datang sendiri ke sini untuk melihat pelbagai lain produk yang dipamerkan di ruang niaga disediakan.
“Yang penting produk ini dijual pada harga yang sangat berpatutan,” katanya.
Menurut Shahfurizal, MISB berusaha melebarkan sayap dalam pelbagai bidang perniagaan untuk bersaing menyediakan produk patuh syariah kepada umat Islam.
“Sehubungan itu, MISB sentiasa melakukan pelbagai inisiatif dalam mengenal pasti dan membantu meningkatkan perniagaan milik bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam aktiviti pengedaran barangan keperluan harian.
“MISB juga mempunyai misi menjadi sebuah syarikat bumiputera yang progresif dan maju dalam sektor perkhidmatan dan pembekalan mengikut syariah Islam,” katanya.
MISB merupakan anak syarikat MAIM Holdings Berhad (MHB) yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Memulakan operasi sekitar tahun 1997, penubuhan MISB pada awalnya melibatkan perniagaan dalam bidang pembekalan perabot, alatan persekolahan, buku tulis dan buku latihan kepada sekolah di bawah pentadbiran JAIM iaitu bagi sekolah rendah arab, sekolah menengah dan sekolah rendah JAIM sahaja.
-MF-