Halimah Khaidzir
MELAKA – Melaka menjadi negeri pertama menyokong usaha melaksanakan ‘travel bubble’ (gelembung perjalanan) di antara negeri PKPP ke negeri PKPP sebagai usaha untuk mengembangkan semula industri pelancongan negara.
Menerusi program ini, Kerajaan Negeri Melaka bekerjasama bersama agensi-agensi kembara pelancongan dan premis penginapan pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Travel bubble ini juga diharap dapat menyokong kelangsungan operasi penggiat industri pelancongan negara sekaligus memeriahkan kembali industri berkenaan.
Sebagai permulaan program ini telah dilaksanakan antara Negeri Melaka dan Terengganu.
Sehubungan itu, Pakej Pelancongan ‘Garam Di Laut, Asam Di Darat’ Melaka –Terengganu telah dilancarkan.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.
Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Melaka, Sa’ari Basiron, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Ghani dan Pengerusi MATTA Melaka Chapter, Goh Hock Gin.
-MF-
Sumber: FB Tourism Melaka