Marina Sahabudin
MERLIMAU – Politeknik Merlimau (PMM) bersama pelajar antarabangsa di Politeknik Negeri Bali, Indonesia menganjurkan Webinar Antarabangsa yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live PMM bagi berkongsi pengalaman pelajar yang terlibat dengan pertukaran pelajar antara kedua-dua negara.
Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, platform tersebut amat bermanfaat sebagai perkongsi latihan industri di bawah program Southeast Asian Ministers of Education Organization Technical and Vocational Education and Training atau singkatannya SEAMEO SEA TVET.
“Untuk mempromosikan institusi TVET di peringkat antarabangsa, dan memanfaatkan daya saing global serta kemahiran abad ke-21 pelajar TVET di negara-negara Asia Tenggara, Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan kementerian berkaitan dan institusi TVET di Asia Tenggara membangunkan jaringan Politeknik SEAMEO pada bulan April 2016 sebagai sebahagian daripada Konsortium SEA-TVET.
“Rangkaian ini bertujuan meningkatkan pengantarabangsaan dan perkongsian institusi TVET di rantau ini menerusi program pertukaran merentas negara dan kolaborasi lain,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengantarabangsaan PMM, Simmathiri A/L Applanaidu, latihan industri siri keempat pelajar SEAMEO SEA TVET telah berlangsung bermula Ogos hingga Oktober 2019.
“PMM telah menghantar lima pelajar ke Indonesia dan menerima tiga pelajar pertukaran dari negara itu.
“Menerusi Webinar ini, pelajar terlibat telah berkongsi pengalaman mengenai pendidikan TVET semasa berada di negara berkenaan,” katanya.
Jelasnya, antara yang dikongsikan adalah pengalaman pelajar pertukaran dari PNB, Reny Budiyadnyani semasa menjalani praktikal di Commerce Bistro dan Poly Cuisine Bakery, PMM.
“Dia menceritakan mengenai bagaimana pelajar PMM boleh menghasilkan aneka roti sehingga mampu dipasarkan kepada orang ramai serta disiplin diri dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran baru selain mencuba makanan pelbagai di negeri ini,” katanya.
Seorang moderator turut ditampilkan menerusi program ini, iaitu Bobby Chew Han Yong dan dua orang sebagai penyampai keynote speakers (Simmathiri A/L Applanaidu dan Noraidawati Nordin).
Manakala, tiga pelajar pertukaran, seorang dari PNB dan dua PMM iaitu Wan Muhammad Syahmi Mohamad Nasir serta Muhammad Haqim Hairul Nizam bertindak sebagai jemputan bagi berkongsi pengalaman latihan industri di Indonesia dan Malaysia.
Bagi Muhammad Haqim dia berasa amat bersyukur dan teruja berpeluang meneroka budaya negara lain.
“Melalui latihan industri di Bank Perkreditan Rakyat Cahaya Bina Putera saya dapat belajar mengenai cara menguruskan kewangan, berkomunikasi dengan efisien dan beradaptasi dengan persekitaran baharu.
“Program ini telah memantapkan mental dan fizikal saya sekaligus memberi manfaat apabila saya bekerja kelak,” katanya.
Webinar antarabangsa ini berlangsung kira-kira lebih sejam disaksikan pelayar facebook kedua-dua negara.
-MF-