Halimah Khaidzir
ALOR GAJAH – Sebanyak 1041 kilogram sisa fabrik berjaya dikumpulkan menerusi program Trash To Cash yang diadakan sempena sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Melaka 2021 di Jalan Bandar Baru di sini.
Program anjuran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menggalakkan orang ramai lebih proaktif membantu mengurangkan sisa buangan.
Ia juga sebagai usaha menarik minat orang ramai membudayakan amalan kitar semula disamping menjana pendapatan sampingan dengan hasil jualan kitar semula.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Turut hadir Setiausaha MPAG, Datuk Saleh Mohd Dom.
Pada 30 Mac yang lepas juga, MPAG telah menyediakan tong sisa fabrik di Japerun Tanjung Bidara dan Japerun Durian Tunggal atas inisiatif untuk memudahkan orang ramai bagi menyumbang sisa fabrik.
-MF-