Marina Sahabudin
MELAKA – Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka mengesahkan dua lagi kluster baharu hari ini.
Kluster pertama, iaitu kluster Jalan Kenangan melibatkan kes indeks seorang suri rumah dari Jalan Kenanga, Taman Paya Rumput Masjid Tanah.
Rentetan kejadian, 298 kontak rapat keluarga, sosial dan tempat kerja telah dikesan.
“Daripada kesemua kontak rapat, 207 telah disaring dan 25 didapati positif (8 generasi pertama dan 16 generasi kedua).
“Kluster sama turut membabitkan lima keluarga di Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, tiga institusi pendidikan turut terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, SK Pengkalan Balak dan Kolej Universiti Islam Melaka.
“Di Sk Jeram ia melibatkan 4 guru dan staf dan sekolah ditutup mulai Isnin hingga Rabu. Bagi Sk Pengkalan Balak pula, seramai 3 guru dan 3 murid terkesan dan sekolah turut ditutup mulai Rabu hingga Jumaat.
“Manakala di KUIM pula, kes hanya melibatkan dua staf dan tiada penutuoan dilakukan,” katanya.
Beliau memberitahu, kes berpunca dalam kalangan komuniti yang hadir perjumpaan keluarga pada 26 Mac lalu di Kampung Nelayan, Kuala Sungai Baru dan majlis tahlil pada 27 Mac di Taman Kuala Permai, Kuala Sungai Baru.
Sementara itu, Rahmad berkata, satu lagi kluster iaitu kluster Jalan Mata Kuching telah dikesan pada 19 Mac lalu melibatkan seorang pelajar perempuan Madrasah Tahfiz berusia 13 tahun.
“Sehingga kini 67 kontak rapat telah disaring dan 16 daripadanya didapati positif.
“Bagaimanapun, punca jangkitan disyaki berlaku dalam komuniti dan siasatan masih dijalankan,” katanya disinfeksi madrasah telah dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
-MF-