Halimah Khaidzir
TANJUNG BIDARA – Sejumlah 2000 bantuan kit makanan dan barangan basah telah disumbangkan kepada penduduk kurang berkemampuan dalam DUN Tanjung Bidara menerusi Program Penyampaian Kit Makanan dan Barangan Basah anjuran Japerun Tanjung Bidara.
ADUN Tanjung Bidara merangkap Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha membantu keluarga yang terkesan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini.
Menurutnya, beliau faham tidak semua mampu berhadapan dengan situasi yang berlaku khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
“Saya harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan penerima dan mengurangkan kerisauan mereka untuk membeli barangan makanan,” katanya.
Sementara itu, program turut dilaksanakan secara pandu lalu bagi memudahkan pengagihan kepada masyarakat setempat sekaligus mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Pihak japerun turut membeli barangan disumbangkan daripada MAIM Industries Sdn Bhd (MISB) yang terkenal sebagai pembekal bantuan bagi asnaf di Melaka.
-MF-