Marina Sahabudin
AYER KEROH – Seramai 660 golongan memerlukan menerima sumbangan menerusi Program Kebajikan Sumbangan Ramadan anjuran Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) di Seri Bendahara di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa prihatin dan cakna dengan kebajikan rakyat di negeri ini.
“Namun, usaha kami tidak akan berjaya tanpa sokongan dan komitmen daripada semua pihak terutamanya Badan-badan Bukan Kerajaan.
“Gandingan Kerajaan Negeri Melaka dan MDDNM ini diharapkan tidak terhenti setakat di sini sahaja, sebaliknya akan berkesinambungan sehingga negeri ini akan gah di mata dunia,” katanya menerusi laman sosial facebook milik beliau.
Beliau difahamkan, pelbagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah dijalankan oleh MDDNM sejak ditubuhkan sehingga kini.
“Saya berharap, MDDNM sentiasa bergerak ke hadapan sejajar dengan slogan baharu Negeri Melaka iaitu ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’,” katanya.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Dr. Sazali Muhd Din dan Presiden MDDNM, Datuk Wira Jahaya Mat.
Sementara itu, sumbangan tersebut akan diagihkan kepada penerima yang layak oleh Pegawai Daerah dan Penghulu yang ditugaskan.
“Saya sangat mengharapkan agar amanah yang kalian galas dapat disempurnakan dengan baik dan penuh intergriti. Saya tidak mahu golongan asnaf yang tercicir dalam senarai penerima sumbangan tersebut,” katanya.
-MF-