Halimah Khaidzir
MELAKA – Pembabitan wanita ini dalam bidang pembuatan kek lapis tidak perlu diragui lagi.
Sementelah lebih 20 tahun empunya nama Dayang Rofizah Abg Johny,47, ini mempertaruhkan dirinya untuk mengusahakan De Lapiz Pastilicious.
Lebih mengujakan apabila kek lapis yang dihasilkan Dayang Rofizah ditampilkan dengan warna-warna terang serta corak yang unik.
Menurutnya yang mesra disapa Kak Dayang, setiap minggu ada saja permintaan pelanggan kek lapis sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Biasanya lebih 60 kek lapis akan dihasilkan setiap minggu dan setiap kek ini mempunyai pelbagai rasa yang unik. Jadi, saya cuba mengolah resepi kek yang sedia ada bergantung kepada permintaan.
“Ini kerana setiap pelanggan mempunyai citarasa berbeza. Ada yang membuat pesanan khas seperti kurangkan manis serta sebagainya.
“Setiap kek lapis pula dihasilkan dengan pelbagai proses, saya perlu bijak ‘bermain’ dengan resepi untuk mengikut kehendak mereka tanpa mengubah keunikan rasa kek lapis De Lapiz Pastilicious,” katanya kepada MelakaFirst.
Kak Dayang juga mendapat bantuan daripada anak perempuannya unuk membantu setiap kali permintaan pelanggan meningkat
“Semakin banyak tempahan, semakin bersemangatlah saya dan anak. Ini membuktikan kek lapis sentuhan kami disukai mereka.
“Kerana itu, saya sentiasa memastikan produk De Lapiz Pastilicious menggunakan bahan-bahan premium dan berkualiti tinggi sahaja, katanya.
Ujarnya, Kek lapis De Lapiz Pastilicious mempunyai rasa ketara berbeza daripada kek lapis komersial sedia ada.
“Kami menggunakan oven gas bagi mengekalkan kelembapan kek berbanding sesetengah penjual kek lapis yang menggunakan oven elektrik demi memudahkan kerja,” katanya.
Bagi yang ingin membeli kek lapis premium buatan Kak Dayang, anda boleh layari laman sosial facebook dan instagram De Lapiz Pastilicious.
-MF-