Marina Sahabudin
PERINGGIT – Kecoh mengenai Pasar Ramadan di Pantai Peringgit semalam apabila pengunjung tidak dibenarkan masuk sehingga mendatangkan kemarahan kepada peniaga terlibat.
Difahamkan, hanya satu ‘pintu’ sahaja dibuka bagi kegunaan pengunjung untuk masuk dan keluar di pasar ramadan itu dan menyebabkan peniagaan dijalankan kurang mendapat sambutan.
Menerusi lawatan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee ke lokasi, segelintir peniaga meluahkan rasa tidak puas hati kepada beliau.
Bagaimanapun, kekecohan tercetus dan ada di antara peniaga yang menyalahkan Norhizam berikutan isu tersebut.
MelakaFirst turut mendapatkan respon daripada Norhizam.
Menurut beliau, SOP wajib dipatuhi bagi mana-mana sahaja pasar atau bazar ramadan dianjurkan.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dah tetapkan hanya 300 pengunjung dibenarkan masuk dalam satu-satu masa.
“Penganjur juga menyediakan ‘stiker’ untuk setiap pengunjung dan jika ia habis, pengunjung lain perlu tunggu bagi mendapatkannya dan barulah boleh masuk ke pasar ramadan.
“Sebagai ADUN saya tiada kuasa nak langgar perintah tersbeut, takkan saya nak guna kuasa sebagai ‘YB’ dan abaikan SOP?,” jelasnya kepada MelakaFirst.
Ujarnya, kanak-kanak juga tidak dibenarkan masuk ke pasar ramadan bagi menjamin keselamatan mereka.
“Saya nasihatkan ikut sahaja SOP dan berniaga seperti biasa, saya tidak mahu sebarang tindakan keras dikenakan ke atas mereka,” katanya.
-MF-