Marina Sahabudin
MELAKA – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh digunakan semula setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, amalan ini dilihat amat penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan
dan minuman di bazar Ramadan dijual dengan dibungkus di dalam plastik.
“Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan di bulan Ramadan dikhuatiri akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan.
“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mewujudkan budaya baharu iaitu ‘tapau’ juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, tupperware serta beg kitar semula.
“Jika setiap di antara kita memulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana,” katanya.
Tambahnya, selain itu, makanan yang ditapau dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang.
“Usaha ini juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik.
“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuklah menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik,” katanya.
Dalam pada itu, SWM Environment tidak ketinggalan membawa mesej kesedaran meraikan bulan Ramadan yang mulia ini dengan norma baharu iaitu elakkan pembaziran makanan.
“Berdasarkan kepada tahun-tahun sebelum ini, kadar sisa makanan dijangka akan meningkat sebanyak 20 peratus ketika bulan Ramadan.
“Oleh itu, SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan membeli juadah berbuka mengikut keperluan.
“Sekiranya ada lebihan makanan, jangan terus dibuang sebaliknya
beri kepada pihak yang memerlukan,” katanya.
-MF-