Halimah Khaidzir
BEMBAN – Taman Air Panas Semulajadi Jasin yang terletak di Kampung Air Panas di sini terus menjadi pilihan bukan saja penduduk setempat malahan pengunjung luar untuk berkunjung setiap minggu.
Ini kerana lokasinya yang mudah diakses dan terletak hanya 20 minit dari Tol Ayer Keroh.
Ia merupakan satu destinasi menarik bagi mereka yang menginginkan ketenangan dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Merupakan kolam air panas tertua di Malaysia, kolam-kolam air panas terdapat di sini dibahagi kepada tiga zon berwarna mengikut suhu air.
Taman seluas dua hektar ini mempunyai sembilan kolam air panas, dua kolam taman air dan satu kolam mineral sejuk di mana pengunjung boleh menikmati kehangatan air panas dengan suhu mencecah 41 darjah celsius.
Kolam air panas ini juga dikatakan berkhasiat kerana mempunyai unsur-unsur galian yang baik bagi merawati pelbagai penyakit tubuh badan seperti sakit sendi dan pinggang serta memulihkan penyakit kulit.
Berendam di kolam air panas ini juga tidak akan memudaratkan walaupun kepada kanak-kanak kerana keunikan air panas tersebut yang mengandungi lapan jenis mineral semula jadi iaitu boron, kalsium, fluorida, besi, magnesium, fosforus, silika dan sulfur.
Air panas yang disalurkan ke setiap kolam datangnya daripada lima perigi asal dan dijaga keasliannya juga tidak bercampur dengan air hujan.
Selain kolam air panas, taman itu turut menyediakan pelbagai kemudahan antaranya tandas, tempat salin pakaian untuk lelaki dan wanita, surau dan kafeteria.
SUMBER: FB KOLAM AIR PANAS JASIN Melaka
-MF-