Marina Sahabudin
PAYA RUMPUT – ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menafikan dakwaan terhadap beliau di laman sosial facebook yang dikatakan tidak bertindak dan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah banjir di DUN Paya Rumput.
Tegas beliau, sebahagian komen negatif tersebut jelas bermotif politik termasuk komen daripada Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai yang bertindak menuding jari kepada saya atas kejadian banjir kilat di CIMB Cheng tempohari.
“Mungkin beliau terlupa, Cheng dan DUN Paya Rumput merupakan sebahagian daripada Parlimen Tangga Batu yang juga di bawah tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu.
“Saya mengambil masa sedikit lama untuk respon tentang tuduhan tidak berasas ini bagi mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi berkaitan seperti JKR, MBMB, Pejabat Daerah Melaka Tengah dan JPS untuk menyenaraikan segala usaha-usaha yang telah dijalankan di DUN ini.
“Sejak saya menjadi ADUN Paya Rumput, banyak projek menaik taraf, pembaikan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sekitar DUN Paya Rumput telah dilakukan hasil kerjasama baik diterima daripada semua agensi kerajaan terlibat menerusi aduan pimpinan masyarakat dan rakyat di sini,” katanya.
Jelas Mohd Rafiq, sejak Mac 2019, beliau telah menubuhkan Mesyuarat Jawatankuasa Mengatasi Permasalahan Banjir DUN Paya Rumput untuk mengenal pasti segala isu berkaitan banjir dan merangka pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang,
“Dalam konteks permasalahan banjir di CIMB Cheng, saya ingin memperbetulkan tanggapan pihak tertentu yang tidak ada sebarang tindakan diambil pihak saya dan agensi berkaitan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.
“Untuk makluman semua, pada tahun 2019, pihak JKR telah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf persimpangan dan pembentungan di Persimpangan CIMB Cheng-Lebuh AMJ dengan peruntukan sebanyak RM380,000 termasuk kerja-kerja pembersihan di bahagian ‘discharge’.
“Selepas perlaksanaan projek tersebut, kejadian banjir di Lebuh AMJ telah diatasi. Namun, kejadian banjir berulang semula di CIMB Cheng didapati berpunca antaranya daripada pertambahan isipadu lebihan air yang tinggi berpunca daripada kawasan sekitar,” katanya.
Ujar beliau, fenomena ini berlaku hasil daripada pertambahan air larian permukaan yang tinggi dan bertambah tanpa kawalan seperti sistem discharge dan water storage semulajadi atau buatan yang gagal menampung lebihan air.
“Antara faktor lain tiada pembersihan berkala di lot tanah individu yang mempunyai tali air yang besar serta terdapat beberapa pembangunan yang sedang giat dibangunkan di kawasan berhampiran,” katanya.
Tambah Mohd Rafiq, sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, sejumlah peruntukan dianggarkan sebanyak RM1.5 Juta dipohon daripada kementerian berkaitan untuk menaiktaraf lagi lintasan pembentung sedia ada daripada saiz 1.2mx1.5m kepada 2.4mx1.5m bagi menampung lebihan air pada satu-satu masa.
“Bagi langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan akan berusaha memastikan pembersihan di setiap bahagian tali air yang terlibat dibuat secara berkala untuk pengaliran air agar lebih baik dan lancar,” katanya.
Sementara itu, terdapat beberapa lokasi banjir telah diatasi di DUN Paya Rumput di bawah pimpinan beliau iaitu di Jln Tn Guru Hj. Ahmad, Kg. Paya Rumput, Kg Sg Badau, Jalan Ban Sg. Ayer Salak, Jalan Padang Siapong 1, Kg Padang Siapong, Kampung Sungai Badau, Lorong Hj Khatib Mahmud, Kg Tampoi, Tmn Cheng Perdana, CP5, Tmn Tj Minyak Jaya (TM28/29), Tmn Krubong Jaya (Jalan Satin), Jalan Padang Sipong, Krubong, Jalan Tampoi, Krubong dan Jalan Perindustrian Krubong.
Semua usaha ini melibatkan JPS, PDMT, JKR dan MBMB yang melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.45.
Mohd Rafiq berharap segala fakta dikemukakan dapat memberi gambaran sebenar kepada rakyat atas segala usaha dijalankan di DUN Paya Rumput bagi meminimakan dan seterusnya mengatasi sebaik mungkin masalah banjir di DUN itu.
-MF-