Eyecon memperkenalkan Pusat Pengurusan Miopia pertama di Melaka bertempat di Pusat Perubatan Mahkota.
Miopia atau rabun jauh adalah gangguan pada penglihatan yang menyebabkan objek jauh terlihat kabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon, Datuk Murphy Chan berkata, mempunyai penglihatan yang jelas tidak mencukupi untuk mengawal perkembangan miopia.
“Lensa pembetulan rabun jauh sahaja tidak mencukupi untuk mengawal miopia. Penyelidikan dan kajian klinikal menunjukkan bahawa pengurusan miopia sewajarnya perlu dilakukan.
“Ia merangkumi pemeriksaan mata komprehensif, penyelesaian kawalan miopia secara peribadi terdiri daripada lensa kaca mata atau kanta lekap disesuaikan bagi individu dengan gaya hidup untuk hasil kawalan miopia terbaik,” katanyq.
Tambahnya, di Pusat Pengurusan Miopia ini, Eyecon tidak hanya mempreskripkan lensa standard bagi kanak-kanak, tetapi turut mengesyorkan lensa kaca mata MiYOSMART yang inovatif.
“Lensa ini dihasilkan dengan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.) dari HOYA Vision Care yang merupakan penyelesaian berkesan, selesa dan selamat dicipta bersesuaian dengan kanak-kanak.
“Ia terbukti secara klinikal hasil kerjasama HOYA Vision Care dengan Universiti Politeknik Hong Kong, lensa MiYOSMART dapat melambatkan perkembangan miopia sebanyak 60 peratus secara purata serta melambatkan pemanjangan bola mata scara purata sebanyak 60 peratus,” katanya.
Jelasnya, Program Pengurusan Miopia ini juga dijalankan pakar optometri dan pakar oftalmologi berkelayakan dan berpengalaman bagi memastikan pengurusan miopia terbaik.
Sementara itu, di Asia, kadar peningkatan miopia atau rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak bersekolah dan remaja semakin membimbangkan.
Dianggarkan pada tahun 2050, 50 peratus penduduk dunia akan mengalami miopia dan lebih daripada 62 peratus penduduk Asia Tenggara akan mengalami rabun jauh.
Di Malaysia, miopia menjadi masalah perubatan nombor satu di sekolah.
Sejak pandemik COVID-19, peningkatan masa memandang pada skrin peralatan digital dan pengurangan aktiviti luar dengan ketara telah mempercepatkan wabak miopia.
Antara faktor risiko utama terjadinya miopia termasuklah sejarah keluarga (genetik), jenis kerabunan, etnik dan aktiviti kerja jarak dekat yang berlebihan.
Manakala, kes miopia tinggi (melebihi -5,00 dioptres) cenderung kepada yang mengalami risiko penyakit mata seperti katarak, glaukoma, penanggalan retina dan degenerasi makular.
Miopia yang tinggi juga boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup, beban kewangan untuk alat bantuan optik dan masalah keselamatan.