Marina Sahabudin
MELAKA – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Melaka bagi Fasa 1 telah bermula pada 26 Februari 2021 dan Majlis Pelancaran PICK bagi Negeri Melaka telah diadakan pada 2 Mac 2021.
EXCO Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, seramai 12,870 orang anggota barisan hadapan peringkat pertama telah lengkap menerima vaksin masing-masing pada 2 April 2021.
Menurutnya, bagi peringkat ke dua pula seramai 10,151 orang anggota barisan hadapan bakal melengkapkan imunisasi COVID19 mereka pada 28 Mei 2021.
“Fasa 2 telah bermula pada 19 April 2021 di mana ia memfokuskan pada golongan-golongan berisiko iaitu warga emas, pesakit-pesakit kronik dan OKU.
“Bagi ini, pemberian vaksin dijalankan di 3 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KKM dan 3 PPV awam. Tiga PPV KKM tersebut merupakan SPPV (Special PPV) yang memfokuskan kepada pesakit yang bermasalah dan tidak layak diberikan vaksin di PPV awam.
“Tiga SPPV lain adalah Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah. Tiga PPV awam pula ialah Dewan Tun Ali, Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah dan Dewan Alamanda,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sehingga 22 Mei lalu, seramai 13,705 orang telah menerima dos 1 iaitu 12.1% daripada penerima vaksin Fasa 2 yang mendaftar (113,017).
“Suntikan Dos 2 bagi Fasa 2 pula telah bermula pada 10 Mei. Sehingga 22 Mei 2021, seramai 6,368 orang telah lengkap Dos 2. Prestasi yang rendah ini adalah disebabkan bilangan dos vaksin yang rendah yang diterima oleh Negeri Melaka dari KKM.
“Sehingga 19 Mei, Negeri Melaka hanya menerima sebanyak 84,380 dos vaksin. Daripada jumlah itu sebanyak 46,042 telah digunakan untuk Barisan Hadapan pada Fasa 1. Daripada 38,338 dos, sebanyak 20,073 dos telah digunakan bagi fasa 2 sehingga 22 Mei 2021 dan baki 18,265 akan terus diberi untuk penerima yang dijadual di PPV ditetapkan,” katanya.
Jelas Rahmad, bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan Negeri telah memohon tambahan vaksin mengikut kapasiti sebenar PPV yang sedia ada dan termasuk PPV baru yang akan dibuka.
“Bermula 24 Mei sebanyak 3 buah lagi PPV Awam beroperasi iaitu Dewan Hang Tuah, Dewan CREATE Simpang Ampat dan Dewan Hj Ahmad Ithnin Merlimau. Manakala 4 buah lagi PPV Awam iaitu Dewan CTRM Batu Berendam, Dewan MMU, Dewan MPHTJ Bukit Beruang dan Dewan UITM Alor Gajah akan dibuka pada 15 Jun nanti.
“Selain daripada pemberian vaksin di 3 SPPV hospital dan 10 PPV Awam di atas, penglibatan klinik swasta di Melaka dalam pemberian vaksin Fasa 2 akan bermula pada 1 Jun 2021. Sebanyak dua belas buah klinik swasta telah bersedia sebagai PPVGP untuk pemberian vaksin Fasa 2 iaitu 10 klinik swasta di daerah Melaka Tengah dan 2 klinik swasta di daerah Alor Gajah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan golongan warga emas di pusat-pusat jagaan wargaemas tidak terpinggir, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka telah bekerjasama untuk menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada warga emas di pusat-pusat jagaan dan institusi warga emas secara ‘outreach’ bermula pada 24 hingga 28 Mei ini.
“Masyarakat terpinggir dan di pedalaman seperti Orang Asli, Negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memulakan program penerangan berkaitan program imunisasi bagi memastikan masyarakat Orang Asli menerima maklumat yang betul dan tepat dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam program imunisasi ini. Mereka juga akan diberi vaksin COVID19 dalam masa terdekat,” katanya.
Tambah beliau, dengan penambahan PPV ini dijangka seramai 109,510 rakyat Melaka akan menerima vaksin.
“Ini bermakna 97% daripada mereka yang layak bagi Fasa 2 dan telah mendaftar dalam MySejahtera akan menerima vaksin mereka menjelang 30 Jun nanti.
“Menjadi harapan jabatan agar lebih ramai rakyat negeri ini mendaftar dalam MySejahtera agar dapat segera merancang keperluan vaksin bagi Negeri Melaka ini,” katanya.
Dari segi kadar pendaftaran vaksin Fasa 2 dan 3 melalui aplikasi MySejahtera bagi Negeri Melaka sehingga 22 Mei 2021, sebanyak 47.4%, iaitu seramai 332,096 orang daripada 701,000 rakyat Melaka telah mendaftar.
Bagi pendaftaran vaksin untuk mereka yang memenuhi kriteria Fasa 2 (pesakit kronik, warga emas dan OKU), seramai 117,017 orang daripada 250,000 sasaran telah mendaftar iaitu sebanyak 45.2%.
Sementara itu, pelbagai program telah dijalankan untuk menggalakkan dan membantu pendaftaran vaksin antaranya penglibatan CITF daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kalangan komuniti, program ‘Info on Wheels dan Pendaftaran Vaksinasi’ di bazar Ramadhan oleh Jabatan Penerangan, promosi di pasaraya, pembukaan kaunter-kaunter pendaftaran vaksin di masjid-masjid oleh JAIM dan APM, program promosi pendaftaran vaksin oleh NGO (Mercy dan Belia 46) dan banyak lagi.
-MF-