Halimah Khaidzir
SUNGAI RAMBAI – Adun Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman mencadangkan kawasan Rehat dan Rawat ( RNR) Sungai Rambai Gerbang Selatan Melaka dijadikan salah satu pusat pengurusan pandemik Covid 19 di Negeri Melaka.
Cadangan tersebut disuarakan beliau menerusi laman sosial Facebook miliknya sementelah RNR tersebut pernah menjadi pusat pentadbiran Daerah Kecil Sungai Rambai.
Tambah beliau adalah lebih baik ia dimanfaatkan pada musim pandemik ini daripada dibiarkan kosong dan tidak beroperasi hampir 3 tahun.
“Aset milik kerajaan negeri Melaka yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) ini dilengkapi dengan infrastruktur yang baik dan kawasan parkir yang luas selain elektrik, penghawa dingin, bekalan air, cafetaria, tempat rehat, masjid, klinik, bilik-bilik yang banyak untuk diletakkan katil.
“Ia boleh digunakan sebagai pengkalan hadapan bagi urusan dan proses saringan (swab test), PPV, ICU atau hospital medan sementara serta pusat kuarantin,” katanya.
Jelas beliau, kawasan ini juga terletak di lokasi strategik antara Lebuh AMJ ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan juga telah tersedia sebuah Airstrip yang sesuai untuk operasi udara.
-MF-
SUMBER: FB Hasan Abd Rahman