Marina Sahabudin
KUALA LUMPUR – Perdana Meneri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi melihat sendiri perjalanan proses vaksinasi PPV berskala mega yang bermula sejak 31 Mei lepas.
Menerusi laman sosial Facebook milik beliau, dinyatakan PPV MITEC ini merupakan satu daripada 9 PPV mega di seluruh negara dengan kemampuan maksimum untuk memberikan 6,000 suntikan dos sehari.
Kata beliau, didapati proses vaksinasi berjalan lancar malah, rata-rata mereka yang hadir janji temu menyatakan berpuas hati dengan pengurusan PPV kerana tidak perlu menunggu terlalu lama dari mula mendaftar sehingga diberi suntikan.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada lebih 300 petugas termasuk sukarelawan di PPV MITEC yang begitu dedikasi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar. Saya harap PPV ini menjadi contoh kepada PPV lain dari segi pengurusan proses vaksinasi harian masing-masing.
“Kepada yang belum mendaftar, saya harap mereka segera berbuat demikian bagi memastikan usaha mevaksin seramai mungkin rakyat dapat dilaksanakan sekali gus dapat mencapai tahap ‘herd immunity’ sebagaimana dihasratkan,” kongsi beliau.
Tambah beliau lagi, masyarakat tidak perlu bimbang tentang jumlah vaksin dan kemudahan PPV kerana kita dijadual menerima lebih banyak vaksin bermula bulan ini, seiring dengan pertambahan bilangan PPV yang sedang disediakan di seluruh negara.
“Saya juga berharap lebih ramai anggota masyarakat tampil menawarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu petugas kesihatan di PPV yang telah dan akan beroperasi di seluruh negara, yang akhirnya akan membantu meningkatkan tahap kelancaran proses vaksinasi di semua PPV,” kata beliau.
-MF-