Halimah Khaidzir
KUALA LUMPUR – Berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata Pfizer kekal disyorkan manakala AstraZeneca dan Sinovac kini juga telah diklasifikasikan sebagai bersesuaian kepada golongan ibu mengandung.
“AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasikan kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Lebih 10,000 ibu mengandung telah diberi janji temu dengan nota ‘Expectant Mother’ pada janji temu mereka.
“Manakala, lebih kurang 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi hujung minggu ini,” tambah beliau.
Khairy berkata setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.
Beliau menekankan bahawa ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin COVID-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan COVID-19.