KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman terhadap Institusi Diraja dan kerajaan, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata satu rakaman video bertajuk ‘Racist in Vacine Malaysia’ dimuat naik di laman Facebook yang mampu menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keamanan negara.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ sedang mencari seorang lelaki yang dipercayai kini berada di Jerman, N Ganesparan, 39, bagi membantu siasatan.
“Di dalam video itu seorang suspek mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama ‘Sinovac’ diberikan kepada golongan bukan muslim manakala muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama ‘Pfizer’,” katanya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Menurutnya sejak tahun 2018 hingga kini, polis turut membuka 18 kertas siasatan terhadap lelaki itu di bawah Akta Hasutan 1948 dan kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 298A, Seksyen 500, Seksyen 504 serta Seksyen 505(b).
“Semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati pergerakan keluar terakhirnya ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan status pasportnya telah dibatalkan pada 25 November tahun lalu.
“Orang ramai diminta beri kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai lelaki itu untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
SUMBER: BERNAMA