KUALA LUMPUR – Keselamatan siber perlu menjadi keutamaan setiap negara, terutamanya dalam perkara yang mendasari ekonomi dan keselamatan negara berkenaan – Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, isu keselamatan siber telah menjadi antara bidang tumpuan utama kerajaan untuk melengkapkan usaha ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.
Keselamatan siber telah menjadi suatu isu dan mana-mana negara didapati tidak akan termampu untuk menangani masalah ini secara sendirian berikutan ancaman siber tidak mengenal batas sempadan dan menjadi semakin canggih serta rumit.
“Kita juga tidak terkecuali dalam memberi penekanan terhadap elemen keselamatan siber dalam setiap inisiatif,”
Isu berkenaan juga menuntut kerajaan untuk memberikan perhatian serius berikutan peningkatan ancaman dan jenayah siber, sejak tiga tahun lepas.
Pada tahun 2019 jumlah jenayah siber yang dilaporkan berjumlah sebanyak 3,787 dan meningkat 10 peratus kepada 4,194 pada 2020 dan angka itu terus meningkat pada suku pertama tahun ini, apabila sebanyak 1,300 kejadian jenayah siber dilaporkan.
Jenayah siber juga menunjukkan peningkatan dan menurut statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah jenayah siber yang dilaporkan pada 2019 adalah sebanyak 11,875 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM498 juta.
Inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini adalah untuk mengalakkan semua rakyat Malaysia menceburi digitalisasi dan merebut peluang untuk meningkatkan taraf hidup, mencerminkan komitmen kerajaan ke arah usaha meningkatkan pertahanan negara bagi melindungi persekitaran ruang siber.
Untuk memastikan kejayaan MyDigital, Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), telah diberi tanggungjawab untuk menjadi agensi utama mengkoordinasikan dan menetapkan standard semua inisiatif keselamatan siber di bawah enam kluster MyDigital.
Semua pelan pindakan di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 akan diselaraskan dengan inisiatif MyDigital sebagai elemen penting untuk mencapai visi menyediakan ruang siber yang selamat, terjamin dan berdaya tahan.
Melalui MCSS, kerajaan akan memperkukuh kemampuan tempatan untuk meramal, mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman siber dengan mempertingkatkan tadbir urus berkaitan keselamatan siber, memupuk individu kompeten, menyokong proses amalan terbaik dan menggunakan teknologi yang berkesan.
MCSS juga telah menggariskan 113 program di bawah 35 pelan tindakannya, dan satu daripadanya ialah mengadakan persidangan dan pameran antarabangsa dwi tahunan, juga dikenali sebagai CYDES.
Sumber : Bernama