MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, meluangkan masa menziarahi keluarga Mohd Rozali Mohd Zain dan isteri, Som Senom di Kampung Jawa, Melaka.
Menerusi laman sosial Facebook milik beliau, dinyatakan kesusahan dialami keluarga berkenaan yang mana berhadapan tempoh cukup sukar kerana terpaksa menjaga anak tunggal mereka, Azahari yang terlantar menderita penyakit tulang belakang kronik.
Lebih memilukan, Mohd Rozali kini hilang sumber pendapatan sebagai nelayan akibat pandemik COVID-19, dan terpaksa pula menanggung sewa rumah di Kampung Jawa yang dalam keadaan serba kekurangan.
Jelas beliau, dalam pada dirinya dan isteri yang tidak bekerja, pasangan ini diuji pula dengan keadaan anaknya yang memerlukan penjagaan dan tempat berteduh lebih selesa.
Justeru, Sulaiman telah meminta pegawai-pegawainya dan dibantu agensi Kerajaan Negeri termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk mencari segera kediaman baharu yang lebih selesa.
“Alhamdulillah, Insya-Allah keluarga ini akan dibawa berpindah di kediaman baharu di Kampung Permatang Pasir Isnin ini. Rumah baru ini juga lebih dekat dengan tempat kerja Mohd Rozali sebagai nelayan.
“Saya juga mahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka dan MAIM memberi bantuan sewajarnya buat keluarga ini. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan nasib keluarga ini,” katanya.
-MF-
Sumber : FB Sulaiman Md Ali