KUALA LUMPUR – Pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Shahrom idam pingat dalam penyertaan sulungnya di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bulan ini.
“Sokongan padu jurulatih John (jurulatih berbasikal trek negara John Beasley), rakan sepasukan Azizul (Mohd Azizulhasni Awang), rakan sepasukan dan penaja, Yayasan Sime Darby(YSD), merupakan kunci kepada pencapaian saya dalam perjalanan luar biasa ini.
“Matlamat saya untuk mengekalkan prestasi di Olimpik dan pulang dengan kejayaan,” kata pelumba pasukan berbasikal trek YSD (SDFTCT) itu menerusi kenyataan dikeluarkan YSD.
Pemenang emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australian Mac lalu itu berkata, peluang mewakili negara dalam temasya sukan berprestij itu merupakan impian yang menjadi kenyataan.
Mohd Azizulhasni yang diberikan jolokan The Pocket Rocketman bersama Muhammad Shah Firdaus dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu di Olimpik Tokyo bermula 4 Ogos ini.
SUMBER: BERNAMA