MISI HM4P DITANGGUH

KUALA LUMPUR – Selepas 31 hari berkelana di bumi Mesir dan Jordan akhirnya Misi Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) terpaksa ditangguhkan sementara tanpa dapat memasuki Semenanjung Gaza.

Keputusan itu dibuat ketua misi berkenaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim setelah mendapat nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Atas nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, misi HM4P ditangguhkan,” kata beliau.

Katanya, beliau telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri dan memaklumkan pihak tentera Mesir tidak dapat memberi jaminan keselamatan susulan keadaan tidak menentu di Semenanjung Gaza.

Ini susulan beberapa hari lalu tentera udara rejim Zionis melakukan serangan udara di sekitar Semenanjung Gaza dengan alasan membalas tindakan pejuang Palestin yang melepaskan belon pembakar ke kawasan mereka.

Menurut beliau, walaupun HM4P mendapat kelulusan kerajaan Mesir, tetapi pihak tentera yang akan membawa rombongan bantuan tidak dapat memberikan jaminan keselamatan.

“Buat masa ini, HM4P hanya mendapat kelulusan untuk ke sempadan Rafah sahaja tanpa masuk ke Gaza,” katanya mereka akan menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia jam 1 pagi Khamis dari Kaherah, Mesir.

Misi kemanusiaan itu bermula 19 Jun lalu dengan kumpulan pertama bertolak ke Jordan dan mengagihkan sumbangan kepada beberapa kem pelarian Palestin di sekitar Amman, selain menyalurkan bantuan wang tunai bagi memperbaiki Masjid Al-Aqsa yang rosak akibat pencerobohan askar dan polis rejim Zionis Israel.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika sidang video bersama anggota HM4P turut menasihatkan Azeez dan pasukannya menangguhkan misi berkenaan.

“Oleh kerana keadaan di Gaza masih tidak menentu, maka saya menasihati Datuk Seri Azeez dan team untuk pulang dulu ke Malaysia. InsyaAllah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula.

“Kepada rakyat Malaysia yang di kasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujian-Nya. Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan. Semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagian yang dapat untuk semua,” katanya.

-MF-
Sumber : UMNO ONLINE

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *