Anak Melaka Jadikan kejayaan Aaron sebagai pemangkin semangat -Sulaiman

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

AYER KEROH – Kejayaan Aaron Chia bersama pasangannya Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa dalam acara beregu badminton lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Sabtu lalu diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada anak muda di Melaka untuk melakar kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu kiriman ucapan yang dikongsikan di akaun Facebooknya berkata, kejayaan Aaron yang berusia 24 tahun dan berasal dari Batu Berendam itu amat membanggakan kerana berjaya mengharumkan nama negara.

“Malam ini (semalam) saya berkesempatan bertanya khabar menerusi panggilan video bersama “Hero” kita orang Melaka, Aaron Chia, pemenang pingat gangsa beregu lelaki acara badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Aaron yang baru tiba di tanah air petang tadi jelas begitu ceria dalam perbualan santai antara kami berdua dan sempatlah dia bercerita sedikit sebanyak pengalamannya sepanjang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020,”katanya.

Sulaiman berharap dengan kejayaan dikecapi anak muda berusia 24 tahun berasal dari Batu Berendam itu, ia dapat menjadi pemangkin semangat orang Melaka khususnya anak muda untuk turut melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Buat Aaron Chia dan rakan gandingannya, Soh Wooi Yik, syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia pada temasya sukan terbesar di dunia. Demi Malaysia!,”katanya.

Kejayaan pasangan negara itu diraih selepas menewaskan beregu Indonesia, Hendra Setiawan – Mohammad Ahsan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, sekali gus menghadiahkan pingat pertama negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu tahun ini.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *