Datuk Soh Chin Ann dinobat pemain penampilan antarabangsa terbanyak FIFA

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

MELAKA – Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann,71, dinobatkan sebagai pemilik caps antarabangsa terbanyak dengan mengumpul 195 caps sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang turut mengumumkan tiga lagi legenda negara diisytiharkan sebagai ahli terbaru Kelab Abad FIFA menerusi kemas kini yang dilakukan untuk keanggotaan kelab terbabit.

Selain Cin Ann, pengendali Melaka United ketika ini, Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah adalah anggota terbaru dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama RSSSF.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 penampilan, FIFA mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati kelahiran Melaka itu.

Mula mewakili negara di Piala Raja Thai 1969 dan menamatkan kerjaya pada pusingan kelayakan Piala Asia 1984 di Kolkata, India, Chin Ann juga pernah berkhidmat di bawah beberapa jurulatih.

Antaranya, Peter Velappan, Dave Maclaren, Jalil Che Din, Abdul Ghani Minhat, M. Chandran, M. Kuppan, Chow Kwai Lam, Mohamad Bakar, Mohamed Che Su, Karl Weigang dan Frank Lord.

Chin Ann juga mencatat rekod mewakili negara di Sukan Olimpik 1972, mengutip pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta penampilan di pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait.

Beliau yang juga dikenali sebagai “Tauke” pernah diberi lilitan kapten negara dari 1975 hingga persaraannya pada 1984, berasa bangga dengan pengiktirafan itu.
Sebelum ini, FAM menganugerahkan Chin Ann dengan jam tangan dan wang tunai sebagai tanda meraikan 100 caps pada 1976 dan hadiah yang sama ketika mencatat 200 caps pada 1980.

“Terima kasih FIFA dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini. Walaupun FAM pernah mencatat jumlah penampilan saya sebanyak 252 caps, saya percaya ia termasuk semua perlawanan persahabatan menentang kelab luar serta saingan luar pertandingan anjuran FIFA.

“Menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya,” katanya,

Sebagai rekod, sebelum itu, tiga legenda bola sepak negara sudahpun berada dalam kelab terbabit iaitu Datuk Abdul Shukor Salleh (163 penampilan ), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 penampilan) dan mendiang Datuk R Arumugam (131 penampilan).

SENARAI 7 PEMAIN DENGAN KAP TERTINGGI HARIMAU MALAYA YANG DIIKTIRAF DALAM KELAB ABAD FIFA

1.Datuk Soh Chin Ann – 195 kap

  1. Datuk Abdul Shukor Salleh – 163 kap
  2. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari – 138 kap
  3. Mendiang Datuk R Arumugam – 131 kap
  4. Zainal Abidin Hassan – 116 kap
  5. Mendiang Datuk M. Chandran – 115 kap
  6. Datuk Santokh Singh – 100 kap

–ENDS-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *