PANDANG SERIUS TINDAKAN AHLI UMNO

Marina Sahabudin

KUALA KANGSAR – UMNO Bahagian Kuala Kangsar memandang serius tindakan ahli-ahli parlimen daripada UMNO yang semakin berani dan secara terang-terangan menentang keputusan yang telah dibuat oleh parti.

Ketuanya, Maslin Sham Razman menerusi satu kenyataan media berkata, tindakan tersebut khususnya oleh mereka yang telah diangkat oleh parti dan beroleh pelbagai kedudukan kerana dukungan yang diberikan oleh ahli-ahli akar umbi, amat mengecewakan.

Menurutnya, walaupun telah jelas siri kegagalan kerajaan sehingga mewujudkan konflik perhubungan antara kerajaan dan Istana Negara apabila kerajaan telah disifatkan oleh Yang di-Pertuan Agong membelakangi fungsi dan kuasa baginda, menjadi asas UMNO menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan kerajaan PN, tindakan mereka yang tidak menghormati serta mematuhi keputusan parti amat dikesali.

Justeru, sebagai pimpinan di peringkat akar umbi, UMNO Bahagian Kuala Kangsar ingin menyatakan pendirian menyokong keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, juga pendirian UMNO yang dibuat semasa PAU 2020 oleh sidang perwakilan dan pendirian yang telah dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

“Suka juga diingatkan kepada semua pihak khususnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar agar mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi sebagai punca kuasa tertinggi parti dalam ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO.

“UMNO Bahagian Kuala Kangsar akan berdiri teguh bagi mempertahankan parti dengan menyokong keputusan yang telah dibuat kerana ia merupakan terjemahan hasrat ahli akar umbi yang memang tidak boleh menerima mainan politik Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memporak perandakan keutuhan UMNO.

“Serentak dengan itu, UMNO Bahagian Kuala Kangsar akan terus menumpukan usaha untuk memastikan rakyat di kawasan Kuala Kangsar mendapat pembelaan yang sewajarnya dan memastikan wakil-wakil rakyatnya baik di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen melaksanakan amanah parti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *