Nazirah Hassan
MERLIMAU – Bagi penggemar masakan pedas, rasanya tidak lengkap jika makan nasi tanpa sambal. Bagi yang ingin menambah rasa ‘kick’ ketika makan, bolehlah mencuba Sambal Lado Minang keluaran anak tempatan yang kini menjadi pilihan ramai orang.
Ringkas dan mudah, hanya buka penutup dan boleh terus menikmati juadah waima dengan nasi kosong sekalipun. Ia cukup menyelerakan.
Bukan hanya itu, Sambal Lado Minang juga cukup sesuai untuk dijadikan pes lauk atau pes nasi goreng. Semestinya Sambal Lado Minang bakal membangkitkan lagi rasa juadah anda.
Menurut pengasasnya, Wan Afiq Nordin atau mesra disapa Afiq,
Sambal Lado Minang ini sangat mementingkan rasa dan kualiti dalam dalam proses pembuatannya. Ia hanya menggunakan ramuan organik terpilih bagi mendapatkan rasa yang menyengat dan lazat.
“Antara kandungan dalam Sambal Lado Minang ialah cili hidup, cili padi, bawang putih, bawang merah, tomato, dan limau nipis.
“Pembuatan Sambal Lado Minang juga tidak menggunakan sebarang pengawet atau perasa tambahan. Walaupun ia bebas bahan pengawet, sambal ini mampu bertahan selama 6 bulan,” katanya kepada MelakaFirst.
Tambah beliau lagi, Sambal Lado Minang ini juga merupakan alternatif pantas bagi mereka yang kesuntukan masa untuk menyediakan masakan.
“Cukup mudah untuk dinikmati bagi yang tidak berkesempatan untuk menyediakan masakan berasas sambal.
Sambal Lado Minang juga sesuai untuk masakan ringkas seperti telur atau sambal ikan bilis.
“Rasa sambalnya cukup padu dan pedas membuatkan sesiapa sahaja akan makan bertambah,” tokok beliau lagi.
Afiq turut memberitahu penghasilan Sambal Lado Minang pada awalnya hanya bertujuan untuk menambah pendapatan, namun semakin hari sambutan semakin menggalakkan menyebabkan dia terpaksa menokok produksi pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Bagi menjaga kualiti sambal, Afiq mengakui dia sangat teliti di peringkat penyediaan bahan mentah dan proses memasak supaya terjaga teksturnya.
“Saya hanya menggunakan lada segar dan kemudiannya dikisar halus sehingga tiada kelihatan biji lada. Begitu juga campuran bahan-bahan lain, mestilah mengikut sukatan supaya hasilnya sempurna dari segi rasa, warna dan ketahanan,” beritahu Afiq lagi.
Paling menggembirakan Afiq, pelanggan-pelanggan dari serata Malaysia yang sudah mencuba Sambal Lado Minang menerusi platform Shopee juga cukup berpuas hati dengan memberikan ‘rating’ 5 bintang kepada sambal ini.
Sambal Lado Minang menawarkan dua jenis lebel pembotolan iaitu Sambal Lado Minang Cili Hijau dan Sambal Lado Minang Cili Merah yang berharga RM 15.00 sebotol.