Marina Sahabudin
MELAKA – Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Ghaafar Atan yakin ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee positif untuk bersama UMNO.
Ujar beliau, meskipun Norhizam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi tiket DAP sebelum bertindak sebagai ADUN Bebas, namun, ahli UMNO dinasihatkan supaya terbuka menerima individu yang mahu bersama parti itu.
“Saya sendiri jika ditempat Norhizam, pasti akan berkecil hati apabila ada yang meminta supaya tidak mengambil beliau bertanding PRU.
“Sebab itu, saya kadang-kadang nak marah dengan orang-orang UMNO. Sepatutnya kita bersama dan bersatu ke arah kebaikan bersama dan jangan diungkit kisah lama beliau (Norhizam) dalam DAP,” katanya.
Ghaafar menjelaskan, Norhizam pernah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk bersama UMNO.
“UMNO perlu sedar bahawa pemerintahan sekarang bukanlah dalam keadaan parti itu menang, tetapi dengan izin ALLAH, dapat mentadbir di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya percaya Pakatan Harapan (PH) susah untuk merampas Melaka semula,” katanya.
-MF-
sumber : Sinar Harian