Marina Sahabudin
MELAKA – Barisan juri Pertandingan Pidato Kebangsaan Piala Yang Dipertua Negeri Melaka memulakan tugasan mereka mengadili video dihantar peserta program tersebut.
Pengarah program, Datuk Profesor Dr. Baharudin Puteh berkata, seramai 10 juri dipilih Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Penerangan bagi setiap kategori untuk saringan pertama itu.
Menurutnya, juri dipilih dalam kalangan pensyarah, guru yang berpengalaman luas dalam bidang ini. Mereka diamanahkan menilai peserta untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Bagi peringkat akhir, penjurian diketuai Pengerusi Majlis Peradaban Melayu, Prof Tan Sri Abdul Latiff dan Prof Emeritus Datuk Dr. Yusof Hashim,” katanya.
Pertandingan yang mengambil tema Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kesejahteraan Rakyat dan Kestabilan Rakyat mengetengahkan lima kategori.
Ia termasuk kategori Awam, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu.
Hadiah ditawarkan berjumlah RM300 sehingga RM5,000.
Sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 234 video daripada 516 penyertaan telah diterima.
Pertandingan turut mendapat penyertaan dari negeri luar selain Melaka, iaitu Johor dan Selangor.
-MF-