Dulu Pengurus Kilang, Kini Pengawal Keselamatan

Nazirah Hassan

SERKAM – Waktu pandemik, banyak menduga orang ramai tanpa mengira latar belakang. Rata-rata
masyarakat sememangnya cukup terkesan dari segi kelangsungan hidup. Ramai yang kehilangan
mata pencarian dan ada juga yang hilang tempat bergantung.

Cabaran pada waktu pandemik ini turut dirasai oleh Zamri Wakiran, 48. Siapa menyangka
kerjayanya sebagai pengurus kilang tergendala dan kini beliau berjawatan sebagai pengawal
keselamatan.

Bercerita tentang kisah hidupnya kepada MelakaFirst, Zamri memberitahu dia mula menceburkan
diri dalam bidang pengurusan dan pemasaran sejak tujuh tahun lalu selepas bersara daripada
perkhidmatan sebagai Pegawai Waran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, tidak lama selepas bersara, dia ditawarkan bekerja sebagai Pengurus
Operasi di sebuah kilang. Berbekalkan pengalaman yang saya ada, saya teruskan usaha untuk
membina kerjaya di samping membawa operasi syarikat ke tahap yang membanggakan.

“Seperti syarikat lain yang turut terkesan ketika penularan wabak Covid-19, pemasaran produk
di syarikat tempat kerja saya juga semakin menurun dan pengoperasian perlu dikecilkan.
Pada satu tahap, pengurus syarikat memutuskan supaya syarikat tersebut dikelola oleh ahli
keluarga mereka sahaja.

“Pada mulanya, saya tidak begitu terkesan, namun jangka masa pandemik yang terlalu
lama membuatkan saya mula berdepan masalah kewangan. Puas juga cari kerja bersesuaian
tapi tak dapat. Pada satu hari ada kawan minta tolong dan bertanya sekiranya
ada kenalan atau rakan yang ingin bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kawasan
kilang.

Tambah Zamri lagi, tanpa berfikir panjang dia menawarkan diri untuk mengisi kekosongan
jawatan tersebut dan mengenepikan perasaan malu demi sesuap nasi dan mahu menafkahi isteri
serta anak-anak.

Jelas Zamri lagi, orang terdekat juga terkejut dengan keputusan untuk bekerja
sebagai pengawal keselamatan, apalagi dengan latar belakang dan jawatan beliau yang
agak tinggi sebelum ini. Namun ramai mulai faham dengan situasi pendemik ketika ini
yang menyebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyandang jawatan sebagai pengawal
keselamatan. Jika sebelum ini ramai yang beranggapan tugasan sebagai pegawai keselamatan
hanya untuk mereka yang berpendidikan rendah dan namun persepsi itu berubah.

“Bukan saya sahaja jadi pengawal keselamatan, bahkan ada juga pelajar lepasan universiti,
memiliki Ijazah dan Master, serta yang berjawatan eksekutif, cuma mereka mungkin masih
segan untuk berkongsi kerjaya terkini dengan orang ramai.

“Apa pun saya yakin dengan ketentuan Allah dan percaya rezeki tidak
salah alamat. Hampir 8 bulan saya jadi pengawal keselamatan, tugasan ini bayak memberi
inspirasi kepada saya supaya sentiasa hidup merendah diri, jangan ego dan
bongkak kerana pangkat, harta benda dan nikmat dunia bukanlah perkara yang perlu
dibanggakan,” katanya penuh makna.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *